Dunia

50 wartawan dibunuh sepanjang 2020

PARIS: Sejumlah 50 wartawan dan pengamal media dibunuh kerana isu berkaitan pekerjaan mereka sepanjang tahun ini, dengan majoritinya berlaku di negara yang tidak berlaku peperangan, kata Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), hari ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan kes wartawan yang menyiasat jenayah terancang, rasuah atau isu alam sekitar menjadi sasaran, lapor RSF yang menyenaraikan Mexico, India dan Pakistan mencatatkan pembunuhan tertinggi.

Menurut laporan tahunan RSF, 84 peratus pembunuhan tahun ini adalah ‘sengaja disasarkan’ kerana tugas mereka, berbanding hanya 63 peratus tahun lalu.

Ketua Pengarang RSF, Pauline Ades-Mevel, berkata sejak beberapa tahun lalu, pihaknya mendapati wartawan penyiasatan menjadi sasaran kerajaan atau kartel jenayah.

“Mexico menjadi negara paling berbahaya untuk wartawan dengan merekodkan lapan pembunuhan.

“Kaitan antara penyeludup dadah serta politik adalah jelas dan wartawan yang berani membuat liputan mengenai perkara ini atau isu berkaitan lazimnya menjadi sasaran pembunuhan,” jelas laporan itu.

Tiada satu pun kes pembunuhan wartawan di Mexico menyaksikan pelakunya dihukum, kata RSF yang mengumpul data tahunan mengenai keganasan terhadap wartawan di seluruh dunia sejak 1995.

Menurut RSF lagi, lima wartawan dibunuh di Afghanistan selain terdapat peningkatan serangan terhadap petugas media sejak beberapa bulan ini, meskipun rundingan damai antara kerajaan dan Taliban sedang berjalan.

RSF turut mengetengahkan kes tokoh pembangkang Iran, Ruhollah Zam, pemilik saluran media sosial popular menghimpunkan rejim pembangkang, yang dihukum bunuh bulan ini.

RSF menyifatkan hukuman itu mengesahkan rekod Iran sebagai negara yang secara rasmi paling banyak menjatuhkan hukuman mati terhadap wartawan dalam tempoh setengah abad ini.

Tempoh setahun lalu juga menyaksikan 387 wartawan dipenjarakan termasuk 14 kerana leporan berkaitan penularan COVID-19.

— RSF / BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button