Covid19Semasa

Wira negara yang tidak kenal erti mengalah

Hargai kecekalan petugas barisan hadapan

BANGI : Sudah lebih setahun Malaysia berdepan ancaman virus yang tidak kelihatan. Kini ancaman virus semakin serius, apabila varian baharu boleh boleh merebak dalam tempoh 15 saat sahaja.

Angka jangkitan pula kian meningkat hari demi hari, dari empat digit menjadi lima digit. Boleh dikatakan tidak ada khabar gembira, hanya duka.

Namun masih ada perkara yang perlu rakyat Malayia syukuri, iaitu, Malaysia bertuah dikurniakan petugas barisan hadapan yang tetap sabar menjaga benteng pertahanan negara juga merawat pesakit yang mencecah ribuan angka.

Barisan hadapan itu terdiri daripada petugas kesihatan dan perubatan, agensi penguatkuasaan, ketenteraan serta pihak yang terlibat memberikan perkhidmatan asas dan kritikal kepada komuniti.

Dalam kalangan tenaga barisan hadapan itu, petugas kesihatan dan perubatan merupakan benteng terakhir yang perlu memastikan Covid-19 tetap terkawal.

Aktiviti yang sudah menjadi kenangan

Malaysia pernah menang menentang wabak ini, hasil kerjasama antara masyarakat dan kekentalan petugas barisan hadapan.

Namun, September 2020, menjadi titik permulaan peningkatan kes jangkitan positif Covid-19. Sehingga hari ini angka sifar kes masih jauh untuk capai.

Keluhan dan kepenatan petugas barisan hadapan mula dirasai. Katil di hospital rata-rata dipenuhi pesakit kritikal Covid-19. Tangki oksigen pernafasan pula semakin berkurangan.

Sesungguhnya tiada siapa tahu apa yang mereka rasai kerana tiada istilah rehat untuk mereka.

Baru-baru ini tular satu video berdurasi 15 minit mempamerkan isi hati para petugas barisan hadapan, khususnya pegawai perubatan.

Video yang bertajuk ‘Frontliners reveal truth about the Covid-19 crisis in Klang Valley Hospitals’ itu hanya memperdengarkan suara petugas barisan hadapan tanpa mendedahkan wajah mereka.

Seorang petugas mengatakan laporan jumlah Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah benar.

“Saya bertarung dengan Covid-19 sejak tahun lalu sebagai barisan depan. Nombor itu tidak palsu.

“Berdasarkan kadar positif, satu daripada 10 orang yang anda kenali sama ada ahli keluarga dan rakan anda dijangkiti wabak tersebut,” katanya.

Menurut petugas lain, kini semakin ramai rakyat yang dijangkiti wabak Covid-19 tanpa mengira had umur.

“Kita bukan bercakap tentang warga emas tapi tentang orang muda dan mereka yang tiada penyakit berbahaya dijangkiti wabak ini hingga ke kategori empat dan lima.

“Kita sedang kehilangan ramai nyawa, ibu, ayah dan anak. Ia sedang berlaku dalam negara kita.” ujar seorang petugas.

Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur masih berpeluang meneruskan aktiviti bersama keluarga sementara para petugas barisan hadapan bertungkus lumus, mengorbankan keselamatan dan masa mereka demi mengekang penularan Covid-19.

Memetik ciapan Dr Noor Hisham melalui akaun Twitter miliknya pada 8 Oktober 2020, beliau menulis,

“Kepada semua petugas barisan hadapan, ingatlah bahawa kita adalah pelindung kesihatan rakyat dan keselamatan negara, kita adalah barisan pertahanan terakhir. Kita mesti terus bersemangat dan kuat. Kesihatan menyatukan kita semua melawan satu musuh, Covid-19, bersama-sama. Insya-Allah”.

Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button