Covid19Semasa

Bunuh diri bukan jawapan kepada depresi

tetapi itu ramai yang memilih itu sebagai jawapan

Saban hari kes bunuh diri di Malaysia semakin menunjukkan peningkatan yang ketara. Ada mengatakan ia adalah akibat tekanan dan stress yang melampau  kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi Covid-19 yang melanda negara kini benar-benar menguji tahap kesihatan mental masyarakat, tanpa mengenal usia apabila mereka yang rasa ‘terpenjara’ di kediaman sendiri.

Ada antara mereka sudah mati akal bagi mencari solusi memperbaiki kehidupan yang kian meruncing, sehingga merasakan mati sahaja yang mampu menjadi jalan keluar daripada semua masalah.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM, berbanding 631 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2020, dan 609 kes pada tahun 2019.

Rakyat Malaysia ketika ini bukan sahaja risau terhadap peningkatan kes harian Covid-19 yang sudah melonjak sehingga lima angka tetapi turut berhadapan pula dengan peningkatan kes bunuh diri.

Kehilangan punca pendapatan adalah antara punca utama tekanan kerana ia menyebabkan situasi hidup jadi tidak menentu. Ia juga membuatkan mereka bimbang dan takut tidak  mampu memenuhi keperluan asas  keluarga seperti makanan, rumah sewa, keperluan anak-anak, ibu bapa, dan seumpamanya.

Masalah kehilangan punca pendapatan itu telah mewujudkan kempen ‘bendera putih’, di mana mereka yang terjejas daripada segi bekalan makanan diminta menaikkan bendera putih di hadapan rumah untuk mendapatkan bantuan.

Untuk golongan anak muda yang sedang berada universiti mahupun sekolah, mereka terpaksa melalui sesi pembelajaran secara atas talian dan ia turut menjadi faktor mereka menjadi stress.

Terdapat perubahan besar dalam rutin kanak-kanak yang kebiasaannya bermain dan belajar di sekolah bersama-sama rakan-rakan namun kini mereka hanya mampu “terperuk” di rumah.

Oleh itu, ahli keluarga yang terdekat dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan penting dalam membantu mereka yang sedang mengalami depresi.

Sekiranya perlu bawa mereka berjumpa dengan doktor yang pakar dalam bidang ini. Ini kerana depressi puncanya berbeza-beza. Ada yang memang kerana keturunan, ada kerana tekanan, dan banyak lagi punca lain.

Setiap punca lain pula cara merawatnya. Namun untuk permulaan, sekiranya kita mengesan ada antara rakan atau ahli keluarga kita mula berubah sikap, daripada bersemangat menjadi pendiam, yang pendiam semakin diam, atau tiba-tiba sahaja mudah menangis, jangan ambil ringan akan perkara itu.

Bantu mereka dengan berbual dan mendengar luahan hati mereka. Sekurang-kurangnya dengan perkongsian masalah ia dapat meredakan beban emosi ditanggung.

Dengan cara ini, mereka yang sedang mengalami kemurungan dan tekanan akan menyedari bahawa mereka tidak keseorangan, kerana akan sentiasa ada orang di sisi yang sudi mendengar isi luahan hati mereka.

Sekiranya ia tidak berkesan, bawa mereka berjumpa dengan doktor. Yang utama perlu yakinkan mereka bahawa, bunuh diri bukan jawapan pada ujian hidup yang ditanggung. Ada lebih banyak pilihan ‘jawapan’ yang tepat dan wajar.

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً ، إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْراً

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

(al-Syarh: 5-6)

Oleh Hafeez Anuar

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button