YANGON : Seorang wartawan Amerika Syarikat yang ditahan oleh junta Myanmar didakwa atas kesalahan melakukan keganasan dan hasutan dan boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Danny Fenster, 37 yang ditangkap ketika dia cuba meninggalkan negara itu pada Mei, telah dikenakan “dua pertuduhan di bawah seksyen 50(a) Undang-undang anti keganasan dan 124(a) Kanun Keseksaan,” kata peguamnya Than Zaw Aung..
Sabit kesalahan di bawah undang-undang anti-keganasan membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Fenster dibicarakan atas dakwaan menggalakkan perbezaan pendapat terhadap tentera, pertubuhan menyalahi undang-undang dan melanggar undang-undang imigresen.
Tuduhan baharu itu dibuat beberapa hari selepas bekas diplomat AS dan perunding tebusan Bill Richardson bertemu ketua junta Min Aung Hlaing di ibu negara Naypyidaw, memberikan publisiti yang jarang berlaku kepada junta.
Fenster dipercayai dijangkiti Covid-19 ketika dalam tahanan, kata ahli keluarga semasa panggilan persidangan dengan wartawan Amerika pada Ogos.
Myanmar bergolak sejak peristiwa rampasan kuasa pada 1 Februari dan menggulingkan kerajaan yang dipimpin Aung San Suu Kyi.
Lebih 1,200 orang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan dalam tindakan keras menangani penentangan awam.
Media juga telah disekat kerana junta cuba mengetatkan kawalan ke atas aliran maklumat, menyekat akses internet dan membatalkan lesen media tempatan.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar