Rantau Panjang : Banjir pada bulan Februari adalah sesuatu yang tidak disangka oleh penduduk di sini. Walaupun kawasan Rantau Panjang memang dikenali kawasan yang sering dinaiki air, tetapi ia biasanya berlaku pada bulan Disember dan Januari.
Jadi walaupun penduduk di sini sudah berpengalaman dan bersedia dengan banjir, namun ketika ia hadir pada waktu yang tidak dijangka, ada banyak kesukaran dan kerugian yang terpaksa mereka hadapi.
MAPIM Malaysia dengan kerjasama MAPIM Rangers dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), yang melancarkan Misi Bantuan Banjir Pantai Timur, telah berusaha 24 jam bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Malam tadi, MAPIM Malaysia dan MAPIM Rangers yang diketuai oleh Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Arab Al Kahery telah turun ke kawasan Gelang Mas bagi menyampaikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.
(Dr.I Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia
Menurut (Dr.) Sani, “Masa kita terhad. Jadi mahu tidak mahu, walaupun sudah malam, perlu meredah banjir, kita terpaksa mengambil risiko ini kerana mahu berikan yang terbaik kepada mangsa banjir. Memang bantuan kecil ini tidak menyelesaikan masalah mereka, tetapi kita pentingkan rasa kebersamaan yang mangsa akan rasa dan juga rasa kurangnya beban yang membolehkan esok mereka bangun dengan lebih bersemangat bagi menghadapi ujian ini.”
Pada misi malam tadi, pihak MAPIM terpaksa meredah banjir yang menghampiri paras pinggang. Misi banjir di pantai timur yang bermula di Kelantan akan diteruskan pula ke Terengganu.
——
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu sahabat peduli Ummah untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang sedang diuji dengan bencana banjir.