Covid19Semasa

Vaksinasi Covid-19 secara ‘walk-in’ di Lembah Klang dihentikan selepas 15 September

Mengambil kira faktor penduduk di Lembah Klang yang masih belum divaksinasi adalah kecil

PUTRAJAYA : Program vaksinasi Covid-19 secara walk-in atau jumpa terus di pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang dihentikan selepas 15 September ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pemberhentian dilakukan setelah mengambil kira faktor penduduk di Lembah Klang yang masih belum divaksinasi adalah kecil dan kadar kehadiran ke PPV adalah rendah.

Sehubungan itu, bermula 16 September ini, penduduk di Lembah Klang yang belum divaksinasi boleh mendapatkan suntikan Covid-19 di klinik kesihatan tertentu yang senarainya akan diumumkan kelak.

“Vaksinasi secara jumpa terus di negeri-negeri masih lagi akan diteruskan. Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing untuk maklumat terkini mengenai walk-in,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata jumlah peratusan populasi dewasa yang lengkap divaksinasi di negara setakat semalam adalah 69.9 peratus.

Beliau berkata sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah untuk mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi di seluruh negara dan bagi negeri, 60 peratus lengkap divaksinasi menjelang akhir bulan ini.

“Alhamdulillah, kini kita berada di landasan yang betul dan vaksinasi mencapai kadar membanggakan,” katanya.

Dr Adham menjelaskan kadar vaksinasi yang menurun di negara ini merupakan ‘petanda baik’ kerana ia menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia telah divaksinasi.

“Baru-baru ini banyak pertanyaan kenapa kadar vaksinasi kita menurun, ini sebenarnya petanda yang baik menunjukkan lebih ramai rakyat kini divaksinasi. Kita perlu menjangkakan penurunan dalam kadar vaksinasi pada minggu-minggu akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Related Articles

Back to top button