Semasa

Tiga loji air Kedah menyusut

Jejaskan 3,000 akaun pengguna

ALOR SETAR – 17 FEB : Tiga loji air di kawasan tengah negeri Kedah, mengalami penyusutan bekalan sehingga menjejaskan lebih 3,000 akaun pengguna.

Keadaan itu berlaku disebabkan musim kemarau melanda Kedah ketika ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata loji paling terjejas adalah Loji Tupah yang sebelum ini mampu mengeluarkan 18 juta liter air sehari, turun kepada hanya 10 juta liter sehari.

Katanya, Loji Merbok menyusut daripada tiga juta liter kepada 0.96 juta liter air sehari, manakala Loji Gurun pula daripada lima juta liter kepada 3.2 juta liter air sehari.

“Musim panas menyebabkan sumber air Gunung Jerai menjadi kering, sekali gus memberi kesan kepada tiga loji berkenaan yang tidak mampu memaksimumkan pengeluaran air bersih.”

“Ia seterusnya mengakibatkan agihan bekalan air bersih kepada pengguna terjejas di kawasan tinggi dan hujung sistem paip membabitkan kawasan di Merbok, Tanjung Dawai, Semeling, Gurun dan Bedong,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, di Alor Setar, hari ini.

Katanya, tiga lori besar berkapasiti antara 11,000 hingga 13,000 gelen turut diguna bagi menghantar air mentah ke rumah penduduk kawasan berkenaan selang tempoh sehari.

“Lori berkapasiti besar ini diguna bagi menghantar bekalan di Merbok antaranya di Taman Nelayan, Universiti AIMST, Taman Gurun Jaya, Taman Murni dan Bukit Bayu dengan agihan akan dibuat bermula jam 8 pagi hingga lewat malam.”

“Penghantaran juga dibuat secara harian ke sekolah, klinik, masjid, surau, premis kerajaan dan awam selain tangki statik juga diletak di tempat yang terjejas,” katanya yang menjangkakan kos penghantaran air pada tahun ini mencecah sehingga RM3 juta.

Beliau juga meminta pengguna bersabar sehingga lima Loji Rawatan Air (LRA) iaitu LRA Pelubang, Bukit Selambau, Sungai Limau, Lubuk Buntar Lama dan Jenun Baru siap dibina pada tahun 2024. – Berita Harian

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button