KemanusiaanSemasa

MAPIM sahut saranan PM bina masyarakat Madani

IPOH: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengadakan Majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Baitul Ridzuan (KOBAR) – MAPIM dan Pelancaran Sekretariat Masyarakat Madani Tambun (SMAT) pada Ahad. 

Majlis perasmian ini dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi bin Abdul Hamid atau Cikgu Azmi, KOBAR adalah satu pusat dimana pelbagai kegiatan dan gerak kerja membina serta membangunkan ummah diadakan. 

“MAPIM adalah sebuah wadah yang berkhidmat untuk negara bagi melonjakkan martabat masyarakat terutamanya penganut Islam agar menjadi masyarakat khaira Ummah.”

Selain itu, KOBAR juga akan dijadikan sebagai Sekretariat Masyarakat Madani Tambun (SMAT) bagi menyahut saranan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina gagasan Masyarakat Madani. 

“Bersama-sama kita membina masyarakat yang madani seperti yang diharapkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia agar dapat melahirkan masyarakat yang lebih beradab, produktif dan penuh dengan ilmu,” tegas Cikgu Azmi.

Selaku pemimpin kerajaan perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan bahawa gagasan negara madani ini sebagai wawasan nasional untuk mencorak masyarakat ke arah peradaban yang tinggi. 

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada MAPIM dan menghargai usaha MAPIM untuk membangunkan masyarakat contoh yang menyumbang kepada pembangunan negara kita.

“Kehadiran MAPIM melengkapkan usaha kerajaan memacu kemajuan negara ke arah konsep negara madani.”

“Kita berharap agar inisiatif ini MAPIM ini mampu untuk menjayakan dan menggerakkan pembangunan madani ini. Jadi mari bersama-sama membina masyarakat madani yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan juga negara,” ujar Dr Wan Azizah.


BACA JUGA
MAPIM Rangers redah banjir di Mersing demi bantu ummah

Related Articles

Back to top button