Semasa

Tragedi Hawk 108 : Mejar Mohd Fareez kini stabil

KUALA LUMPUR : Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Mohd Fareez Omar yang kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang selepas insiden pesawat Hawk 108 dilaporkan stabil.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, keadaan Mohd Fareez kini bertambah baik, bagaimanapun pemantauan dari pasukan perubatan masih diperlukan dari semasa ke semasa ekoran kecederaan yang dialami pada tulanh belakang.

“Sama ada bila Mohd Fareez akan dibenarkan keluar hospital kita tidak boleh tentukan lagi kerana perlu pantau keadaannya selepas cedera teruk akibat nahas itu.

“Selain itu, jawatankuasa khas masih menjalankan siasatan terhadap pesawat itu sebelum mengambil tindakan susulan. Semua perkara itu memerlukan masa untuk penelitian menyeluruh,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Aplikasi MyVeteranMall hari ini.

Terdahulu pada 16 November, sebuah pesawat Hawk milik TUDM terhempas di Pangkalan Udara Butterworth pada jam 10:07 malam.

Insiden itu mengorbankan Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, manakala, Mohd Fareez cedera.

Sementara itu, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga di zon dan lapangan sebagai persediaan musim tengkujuh.

“Setiap anggota dan aset ATM akan digerakkan untuk penugasan musim tengkujuh mengikut keperluan,” katanya.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button