TNB bangun loji tenaga hidroelektrik 300 MW di Kelantan
Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) menerima surat pemberitahuan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk membangunkan loji tenaga hidroelektrik 300 megawatt (MW) di Kelantan.
TNB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam mengumumkan surat pemberitahuan itu meminta TNB Genco untuk memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum pelaksanaan projek.
“Seperti yang disyaratkan kerajaan, TNB Genco memperbadankan sebuah syarikat projek milik penuh bernama TNBPG Hydro Nenggiri Sdn Bhd bagi melaksanakan projek itu.
“Kerja-kerja pembinaan projek ini dianggarkan mengambil masa lima tahun dan jangkaan jangka masa operasi komersialnya adalah menjelang 1 Jun 2027,” katanya.
Projek berkenaan akan meningkatkan bahagian pasaran penjanaannya, terutama daripada hidro dan meningkatkan kecekapan keseluruhan portfolio aset penjanaannya termasuk tenaga boleh diperbaharui.
Dalam pada itu, projek ini juga akan meningkatkan keselamatan tenaga untuk negara dan membawa kesan sosio-ekonomi yang positif bagi Malaysia, Kelantan serta masyarakat tempatan.
“Ia juga akan memberi faedah tambahan kepada Kelantan daripada segi mitigasi banjir, bekalan air bersih dan air mentah untuk pengairan,” katanya.
Mengulas lanjut, projek berkenaan akan memperkukuhkan keselamatan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia, khususnya ke wilayah timur, memastikan lebih jauh kemampuan penyedia utiliti untuk memainkan peranannya dalam menyeimbangkan opsyen tenaga kepada negara.
–BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar