Dunia
Tiga cedera dalam serangan bom kereta api di selatan Thailand
PATTANI : Insiden serangan bom kereta api di Khok Pho, Pattani pada Isnin telah menyebabkan tiga termasuk pemandu kereta api mengalami kecederaan.
Ketua Polis Khok Pho Kol. Chalong Leknoi berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari waktu tempatan kereta api dengan 300 penumpang itu dalam perjalanan dari Sungai Kolok ke Nakhon Si Thammarat.
“Siasatan awal mendapati sebutir bom buatan sendiri itu ditanam di tepi landasan kereta api dan diletupkan apabila kereta api melalui tempat kejadian.
“Letupan tersebut telah menyebabkan berlakunya kerosakan pada gerabak kereta api, malah pemandu, seorang pegawai kereta api dan seorang penumpang cedera dalam kejadian itu. ” katanya.
Tambahnya, pemandu bertindak meneruskan perjalanan selepas letupan berlaku sehingga stesen Ta Paet di Thepa, Songkhla, kira-kira 4 kilometer dari tempat kejadian kerana bimbang serangan lanjut.
Sebutir lagi bom yang belum diletupkan telah ditemui oleh skuad pemusnah bom di tempat kejadian.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4 meningkatkan kawalan keselamatan di laluan jalan raya dan kereta api.
Beliau turut mengarahkan pasukan keselamatan memburu suspek yang terlibat dalam insiden itu.
– Diolah daripada artikel BERNAMA