Semasa

Tiga air pasang besar dijangka berlaku Januari hingga Februari

KUALA LUMPUR : Tiga fenomena air pasang besar diramal berlaku di negara ini bermula awal bulan ini hingga awal bulan depan.

 

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir Azmi Ibrahim berkata, ia bermula pada 2 hingga 5 Januari, diikuti 18 hingga 21 Januari dan 31 Januari hingga 3 Februari.

 

Menurutnya, banjir air pasang besar dijangka berlaku berikutan paras air laut yang tinggi.

 

“Sekiranya tiada langkah perlindungan dilaksanakan, air pasang besar sudah tentu akan menenggelamkan kawasan-kawasan yang rendah, katanya.

 

Beliau berkata, langkah yang boleh diambil adalah dengan membangunkan penghadang di sepanjang pantai untuk mengelak air pasang besar yang akan menyebabkan banjir di kawasan pesisiran pantai.

 

“Jika hujan lebat sehingga air sungai naik meninggi, keadaan akan menjadi lebih buruk kerana air sungai tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung dengan air laut yang tinggi lalu menyebabkan berlakunya pertembungan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya

 

JPS sebelum ini melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari bermula kelmarin hingga Rabu ini.

 

Kawasan berisiko tinggi termasuk Kuala Muda di Kedah, Bagan Datuk di Perak, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

 

-Diolah dan disunting dari Artikel BERNAMA

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button