DuniaSemasa

Tiada tanda ‘like’ di Facebook dan Instagram?

Pengguna berhak sembunyikan ‘like’

KAJANG : Aplikasi Instagram dan Facebook kini bakal menyediakan pilihan buat pengguna media sosial untuk menyembunyikan jumlah tanda suka atau ‘like’ pada hantaran mereka.

Pembaharuan ini dikhabarkan akan segera dilancarkan di Facebook setelah beberapa penelitian dibuat untuk mengurangkan tekanan terhadap pengguna.

Menurut catatan yang dikeluarkan Instagram pada Rabu (26 Mei), pengguna aplikasi tersebut berhak menyembunyikan jumlah tanda ‘like’ pada mana-mana foto atau video mereka.

Ketua Instagram, Adam Mosseri, berkata tindakan ini bertujuan memberi pengguna kawalan ke atas pengalaman mereka di aplikasi tersebut.

Tambah beliau, hasil kajian yang dijalankan menunjukkan jumlah ‘like’ tidak menunjukkan perubahan tertentu dalam kesejahteraan psikologi pengguna, malah, disambut dengan pandangan pengguna yang berbelah bagi.

Fungsi ‘like’ di Facebook dan Instagram digunakan untuk mengukur populariti hantaran yang dibuat oleh pengguna sama ada atas urusan peribadi mahupun professional.

Baru-baru ini, pihak Instagram menjalankan soal selidik dalam kelompok kecil untuk menilai perlu atau tidak tanda ‘like’ di aplikasi itu.

Hasil ujian mendapati ada yang bersetuju dan ada yang kurang gemar dengan idea untuk menyembunyikan tanda suka itu.

Oleh itu, pihak Facebook dan Instagram sebulat suara menetapkan tanda suka itu secara ‘default’ di mana pengguna sendiri berhak memilih untuk memaparkannya atau menyembunyikan jumlah ‘like’ yang diterima.

Sementara itu, Instagram juga menerima kritikan apabila perkhidmatan itu ingin dibuka kepada kanak-kanak dalam lingkungan 13 tahun ke bawah.

Peguam Negara dari 44 wilayah Amerika menggesa cadangan itu dibatalkan.

Mosseri juga berkata Instagram akan mengkaji adakah pengguna di bawah 18 tahun juga berhak menentukan paparan tanda suka atau tidak dalam akaun masing-masing – REUTERS

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button