Covid19Semasa

Tiada lagi kuarantin jika jadi kontak rapat- Khairy

PUTRAJAYA : Prosedur pengasingan atau kuarantin bagi mereka yang menjadi kontak rapat kes Covid-19 bakal dimansuhkan, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, bagi fasa pertama, ia akan dimulakan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam.

Tambahnya lagi, pihaknya telah mengedarkan satu pekeliling kepada semua petugas kesihatan bertarikh 15 Februari lalu.

“Kontak rapat berlaku tanpa disengajakan dan apabila apabila ia berlaku maka terjadinya gangguan kepada ekonomi, pengurusan pekerjaan dan sebagainya dengan ketara.

“Satu protokol baharu dikenalkan dan bagi mereka yang dikesan kontak rapat mereka tidak perlu melakukan pengasingan jika tiada gejala.

“Sebaliknya hanya perlu melakukan ujian pada hari-hari tertentu,” katanya pada sidang media semalam.

Mengulas lanjut, protokol yang sama kepada orang ramai mungkin akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurutnya, beliau juga telah meminta Dr Noor Hisham untuk memanjangkan perkara itu kepada sektor kesihatan swasta jika mereka mahu melaksanakan protokol yang sama.

Sebelum ini, individu yang didapati menjadi kontak rapat dan belum lengkap vaksinasi, termasuk tiada suntikan dos penggalak diarahkan menjalani isolasi atau pengasingan untuk tempoh tujuh hari.

Bagi individu yang sudah menerima suntikan dos penggalak, mereka hanya perlu menjalani pengasingan selama lima hari sekiranya didapati menjadi kontak rapat kes positif Covid-19.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button