Bangkok : Thailand pada hari ini mengesahkan kes pertama ‘MonkeyPox’ yang membabitkan seorang warga negara Nigeria.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (PJKP), Dr. Opas Karnkawinpong yang mengatakan lelaki itu didapati sakit kira-kira seminggu dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Phuket.
“Lelaki tersebut sedang melakukan perjalanan dari Nigeria ke Phuket. Apabila tiba disini lelaki itu mengalami simptom seperti batuk, sakit tekak, demam, hidung berair dan ruam. Selepas kita menjalankan ujian PCR terhadapnya dia didapati telah positif cacar monyet atau dikenali ‘MonkeyPox’.”- Katanya dalam satu kenyataan rasmi
Pihak PJKP mengatakan bahawa kes ini merupakan kes pertama cacar monyet di negara gajah putih tersebut. Mereka juga kini sedang meningkatkan pengawasan dan pengawalan bagi mengekang penularan virus itu.
Monkeypox ini jarang berlaku tetapi pernah menjadi wabak di kawasan hutan hujan tropika di Afrika Tengah dan Barat. Kini virus ini menjadi ancaman global apabila jangkitannya meningkat sejak awal Mei yang lalu di kawasan lain iaitu di luar negara Afrika Barat dan Afrika Tengah.
Pihak WHO dalam kenyataannya kelmarin mengatakan bahawa Jawatankuasa Kecemasan Cacar Monyet sedang membuat penilaian implikasi virus tersebut terhadap kesihatan awam. Hal ini selepas virus itu melepasi 14,000 dengan enam negara telah melaporkan kes pertama mereka minggu lepas – Agensi
Oleh Khairulanwar – Wartawan Pelatih Ummah Today