DomestikSemasa

Tanah Runtuh: PM mohon rakyat Malaysia bersatu hati berdoa

16 mangsa meninggal dunia ditemukan termasuk 3 kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon rakyat Malaysia mendoakan misi menyelamat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father Organic Farm, Genting Highlands dipermudahkan Allah SWT.

“Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Beliau telah mengarahkan misi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands dilakukan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.

Beliau turut dimaklumkan beberapa menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini dan menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan setakat jam 9:15 pagi, seramai 94 mangsa telah ditemui.

Manakala, misi bantuan telah menemukan 61 mangsa selamat, 16 meninggal dunia termasuk 2 kanak-kanak lelaki dan 1 perempuan setakat 1:40 petang.


Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

Kejadian tanah runtuh itu berlaku kira-kira jam 3 pagi tadi dan mula tular di media sosial.

BACA JUGA
Kanak-kanak 3 tahun korban pertama banjir Pantai Timur

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button