BATANG KALI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang belum ditemui dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers Organic Farm, Gohtong Jaya ditangguhkan atas faktor cuaca hujan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah berkata operasi SAR akan disambung semula pada 8 pagi Sabtu.
“Operasi SAR 12 lagi mangsa tanah runtuh ditangguhkan sementara waktu ekoran hujan malam ini“, katanya ringkas kepada Bernama.
Setakat malam tadi, 12 orang mangsa masih dilaporkan hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 yang terkesan dalam kejadian itu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah hadir bagi mendengar taklimat daripada agensi dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa tanah runtuh berkenaan.
Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan segera buat mangsa iaitu RM10 ribu untuk setiap mangsa yang meninggal dunia dan RM1,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa yang tidak melibatkan kematian.
Menurut beliau, pihak NADMA dan JPM dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor akan memudahcara dalam menyalurkan bantuan terus kepada keluarga mangsa.
Beliau dalam masa sama menyatakan penghargaan yang tidak terhingga buat pasukan mencari dan menyelamat yang bekerja dalam suasana yang getir serta sukar berdepan dengan risiko yang juga besar.