Semasa

Sultan Johor dukacita isu penggunaan kalimah Allah

Arah MAIJ sokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam proses rayuan

JOHOR BAHRU 18 Mac :  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan rasa dukacita dengan isu penggunaan kalimah Allah yang boleh digunakan oleh bukan Islam dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Johor hari ini, baginda menegaskan adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama ini diambil kira dalam apa jua keputusan kehakiman.

Sehubungan itu, baginda mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor, MAIJ mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam prosiding rayuan itu.

Hal ini kata baginda boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian Bangsa Johor yang hidup bermuafakat dalam satu negeri.

Baginda turut memetik firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku”.

Titah baginda Fatwa Negeri Johor secara jelas menyatakan bahawa “penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan serta ditegah dan diarah”.

Kerajaan Persekutuan pada 15 Mac lalu telah pun mengemukakan mengenai hak menggunakan kalimah Allah dalam kalangan masyarakat bukan beragama Islam kini ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Cara Negara Abdul Razak Musa.

Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah kalimah Allah merupakan nama khusus kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam.

“Isu-isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di Negeri Johor khususnya apabila isu tersebut berkait rapat di dalam ruang sempadan agama lain,” titah baginda lagi.

Titahnya di negeri Johor terdapat Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh perundangan.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Barisan peguam yang mewakili Jill Ireland hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan kes kalimah ALLAH.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun itu.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Disediakan oleh Pelatih Fakulti Komunikasi Massa Kewartawanan – Hafeez Nor Hanif Anuar

 

 

Related Articles

Back to top button