Tak pernah daftar tapi nama tersenarai dalam anggota RELA
RELA menepis dakwaan guna data peribadi tanpa mendapat kebenaran
KUALA LUMPUR: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan penyalahgunaan data peribadi orang lain untuk didaftarkan sebagai anggota jabatan itu secara automatik tanpa kebenaran individu terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Rela Yahya Sulaiman, supaya meneliti perkara berhubung pendaftaran automatik itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.
“Saya telah arahkan Ketua Pengarah Rela melihat isu yang dibangkitkan selain melihat semula aspek pendaftaran mereka yang ingin menjadi ahli Rela. Kami akan memperhalusi proses pendaftaran selepas ini agar isu yang sama tidak berulang pada masa akan datang,” – Menteri Dalam Negeri – Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
RELA menegaskan mereka tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.
Walau bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta ini digantung sementara kerana RELA sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19.
“Perbuatan itu bercanggah dengan perkara yang dinyatakan dalam Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Kami memahami kegusaran orang ramai berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman. Ini bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) berkuat kuasa” – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)
Dalam pada itu, RELA memberitahu kepada sesiapa yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota RELA dan ingin menamatkan keanggotaan sila hubungi talian berikut 03-8870 3770 dan emel pro_rela@moha.gov.my untuk dibatalkan keanggotaannya.
– BH Online
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar