Semasa

Penguatkuasaan cegah pembakaran terbuka dipertingkatkan – JAS

PUTRAJAYA : Bagi menangani pencemaran udara semasa cuaca panas dan kering ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan aktiviti mencegah pembakaran terbuka dan penguatkuasaan ke atas kilang serta kenderaan motor.

Hal ini berikutan kenyataan media Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Malaysia kini sedang berada di dalam Monsun Barat Daya dan ia akan berterusan sehingga pertengahan September 2021.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata terdapat 418 kes pembakaran terbuka telah dikesan pada bulan Julai 2021 (sehingga 22 Julai 2021) dan bilangan ini dijangkakan akan terus meningkat jika keadaan cuaca panas dan kering berterusan sehingga pertengahan September 2021.

“Terdapat peningkatan kes pembakaran terbuka disebabkan oleh aktiviti pertanian sara diri penduduk tempatan manakala pelepasan dari aktiviti perindustrian, aktiviti kerja tanah dan kenderaan bermotor menyumbang kepada kemerosotan udara di beberapa buah negeri.

“Bagi tindakan penguatkuasaan, JAS telah mengeluarkan sebanyak 358 kompaun, 72 notis arahan dan 9 kertas siasatan telah dibuka bagi kesalahan melakukan pembakaran   terbuka   di bawah   Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (AKTA 127) sejak Januari hingga 22 Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JAS turut memaklumkan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali boleh dikenakan jika disabitkan dengan kesalahan.

Tambahnya lagi, kompaun sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Sementara itu, JAS mengingatkan orang ramai untuk melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button