DuniaSemasa

77 juta pelajar tidak dapat hadir ke sekolah akibat Covid-19

NEW YORK : Berdasarkan analisis data yang dikeluarkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kira-kira 77 juta pelajar dari setiap sekolah di enam negara tidak dapat merasai suasana persekolahan hampir 18 bulan ekoran pandemik Covid-19.

Menurut laporan Xinhua, enam negara tersebut ialah Bangladesh, Kuwait, Panama, Filipina, Arab Saudi dan Venezuela.

Secara keseluruhan, dianggarkan 131 juta pelajar di 11 negara telah ketinggalan lebih tiga perempat pembelajaran sejak pandemik bermula.

Manakala, hampir 27 peratus negara di seluruh dunia menutup atau membuka sebahagian sesi persekolahan.

“Ketika kelas disambung semula di banyak negara di dunia, berjuta-juta pelajar memasuki tahun akademik ketiga tanpa menjejakkan kaki ke kelas.

“Kerugian yang ditanggung pelajar kerana tidak berada di sekolah tidak akan dapat dipulihkan,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore.

Penutupan sekolah ini telah membuka krisis lain di luar pendidikan seperti tidak dapat menerima bekalan makanan asas yabg disediakan pihak sekolah dan vaksinasi rutin.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak juga terdedah kepada pengasingan sosial, peningkatan kerisauan dan terdedah kepada penderaan serta keganasan.

Menurut UNICEF ada yang menjadi buruh kanak-kanak dan berkahwin di bawah umur.

Selain itu, sebilangan ibu bapa terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka untuk menjaga anak-anak dan membantu keperluan belajar, mendorong beberapa keluarga terjerumus ke jurang kemiskinan, menambah kepada krisis ekonomi.

Meskipun pembelajaran jarak jauh atau dari rumah kini menjadi kehidupan baharu jutaan pelajar sekolah, namun akses kepada teknologi dan kualiti kurikulum adalah tidak setara.

Tambah UNICEF, pembelajaran secara bersemuka bukanlah punca utama penularan wabak, jadi, tiada masalah untuk sekolah tersu dibuka seperti biasa.

“Sekolah perlu menjadi institusi terakhir yang ditutup dan yang pertama dibuka semula. Kita harus mula mengutamakan kepentingan terbaik untuk setiap kanak-kanak. Pelajar boleh kembali ke sekolah, kecuali jika keadaan sangat terancam,” kata Fore.

Nurshazlin Shahrom

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button