KerohanianPendidikanSemasa

Islam melarang hiburan?

Jauhi hiburan yang mencacatkan akhlak

Oleh: Amir Aiman (Wartawan Pelatih)

Islam ialah agama fitrah di mana segala pensyariatan hukumnya bersesuaian dengan fitrah manusia. Perkembangan teknologi dari semasa ke semasa menjadikan tugasan manusia semakin bertambah sehingga sampai satu tahap boleh menyebabkan tekanan.

Oleh itu, ada dalam kalangan kita menjadikan hiburan sebagai salah satu cara menghilangkan tekanan dan masalah yang mengganggu mereka.

Sebagaimana hiburan merupakan fitrah kehidupan manusia, Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berhibur tetapi perlulah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hiburan bermaksud sesuatu yang boleh menggembirakan hati, merehatkan minda, menyenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran.

Pendek kata, setiap perkara dan tindakan yang boleh menimbulkan perasaan suka, gembira, seronok dan tenang, ia merupakan suatu hiburan. Allah SWT menjadikan kehidupan dunia penuh dengan keseronokan, permainan dan kelalaian.

Semua itu untuk menguji siapakah dalam kalangan hamba-Nya yang paling baik amalannya ketika dibangkitkan di mahsyar kelak sebagaimana firman-Nya dalam surah ali-‘Imran ayat 185 iaitu,

كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ

Maksudnya: Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya (ali-‘Imran: 185).

Dalam sebuah kajian berkaitan Prinsip-Prinsip Halal Dan Haram Menurut Yusuf Al-Qaradawi menyatakan secara asanya, asal sesuatu hukum adalah harus.

Namun, ia boleh berubah menjadi haram jika terdapat sesuatu yang boleh membawanya kepada haram seperti terdapatnya unsur-unsur yang kotor serta perkara yang boleh memberi mudarat.

Keharusan dalam berhibur sebaliknya didasari dengan pelbagai hadis Rasulullah SAW. Antaranya, Saidatina Aisyah ra. meriwayatkan,

أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا عَائِشَةُ، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ

Maksudnya: “Aisyah ra. mempersiapkan seorang wanita untuk dinikahi seorang lelaki. Lalu Rasulullah SAW pun bersabda: “Wahai Aisyah, tidak adakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan.” (Riwayat Bukhari: 5162)

Menurut Ibn Battal hadis tersebut menyatakan keharusan untuk berhibur dan berseronok selama mana ia tidak menghalang dari mengingati dan mentaati perintah Allah SWT.

Oleh itu, jelaslah bahawa dalam Islam terdapat bahagian-bahagian yang dibenarkan oleh syarak untuk berhibur (Syarh Sohih al-Bukhari Li Ibn Battal).

Dalam kehidupan seharian, kita terdedah dengan berbagai jenis hiburan yang melalaikan. Sekiranya tidak dikawal dengan baik, kita akan hanyut dan leka sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab.

Ditambah pula dengan adanya gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan lain-lain sebagai alat yang menyalurkan hiburan berterusan menjadikan kita sibuk dengan urusan keduniaan berbanding urusan akhirat.

Tanpa disedari, kehidupan kita banyak dihabiskan dengan melayari media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatApps permainan digital, laman YouTube dan berbagai hiburan lain.

Kesimpulannya, hiburan adalah perkara yang dibenarkan dalam Islam selagi mana ia tidak melanggar batas syarak, dilakukan secara sederhana dan tidak melalaikan daripada tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button