DuniaSemasa

Perancis dikecam, melarang pemain bola sepak Islam bertudung

PARIS: Persekutuan Bola Sepak Perancis telah menetapkan peraturan menghalang pemain yang menyertai perlawanan daripada memakai simbol agama yang ‘ketara’ seperti tudung bagi orang Islam atau ‘kippa’ bagi orang Yahudi.

Menteri Hal Ehwal Kesaksamaan Jantina Perancis, Elisabeth Moreno, semalam menyuarakan sokongan terhadap pemain bola sepak wanita Islam yang berusaha membatalkan larangan pemakaian tudung ketika beraksi.

Pada November lalu, tindakan undang-undang telah diambil terhadap peraturan itu oleh gerakan wanita dikenali sebagai ‘les Hijabeuses’, mendakwa berlaku diskriminasi dan pelanggaran hak mengamalkan agama mereka.

“Undang-undang mengatakan bahawa wanita muda ini boleh bertudung dan bermain bola sepak. Di padang bola hari ini, tudung tidak dilarang. Saya mahu undang-undang ini dihormati,” kata Elisabeth Moreno kepada stesen televisyen LCI.

Dalam kenyataannya kepada AFP, beliau berkata, wanita sememangnya dibenarkan memakai pakaian sebagaimana yang mereka inginkan.

Dua bulan sebelum pilihan raya presiden Perancis, perkara itu menjadi isu perbincangan utama di Perancis, yang mengekalkan bentuk sekularisme ketat bertujuan memisahkan antara negara dan agama.

Senat Perancis, yang majoritinya anggota parti sayap kanan Republikan, mencadangkan undang-undang melarang pemakaian simbol agama secara jelas dalam semua pertandingan bulan lalu, namun ia ditolak Dewan Rakyat pada Rabu lalu, yang mana parti pimpinan Emmanuel Macron, Republic on the Move (REM), dan sekutunya memegang majoriti.

Perancis mengamalkan undang-undang sekularisme yang menjamin kebebasan beragama kepada semua rakyat dan tidak mengandungi peruntukan mengenai larangan pemakaian simbol agama di tempat awam, kecuali penutup muka penuh yang diharamkan pada 2010.

Pelajar sekolah turut dilarang mempamerkan agama mereka, begitu juga dengan Kakitangan di institusi negara itu.

Ramai ahli politik sayap kanan di Perancis berhasrat meluaskan sekatan ke atas pemakaian tudung, kerana melihatnya sebagai kenyataan politik yang menyokong Islamisme dan menghina nilai diamalkan di Perancis.

Demonstrasi yang dirancang oleh gerakan ‘les Hijabeuses’ di hadapan Parlimen Perancis pada Rabu diharamkan oleh pihak berkuasa bandar itu atas alasan keselamatan. – AFP

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button