BANGI: Syafiq Raffiqin Liow atau lebih dikenali sebagai Syafiq Liow merupakan seorang mualaf berbangsa Cina yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang.
Beliau memeluk Islam pada 20 Oktober 2006 bersamaan 27 Ramadan 1427 Hijrah pada jam 2 pagi di Perak.
Syafiq pernah menganuti beberapa agama lain sebelum mengenali Islam. Bagaimanapun banyak persoalannya tentang siapakah Tuhan tidak pernah terjawab.
Syafiq mula tersentuh dengan agama Islam apabila beliau menyaksikan satu rancangan TV dimana seorang ustaz mengatakan di akhir rancangan bahawa ‘Islam is the way of life‘.
“Ayat ini telah menjentik hati saya dan menyebabkan saya ingin mencari apa yang dimaksudkan disebalik ayat ini.”
“Sejak sekolah rendah lagi saya ingin mencari sesuatu yang boleh meyakinkan diri saya tetapi masih tidak menjumpainya sehingga saya menjumpai islam,” kata Syafiq Liow
Setelah lebih setahun di uji dengan pelbagai dugaan, beliau berjaya memeluk Islam dengan mengucapkan dua kalimat syahadah dan kini hampir 17 tahun bergelar seorang Muslim.
Kisah penghijrahannya sangat indah sama seperti mualaf-mualaf yang lain. Antaranya Dr. Ustaz Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah merupakan seorang pendakwah bebas. Sebelum memeluk agama Islam, beliau merupakan penganut Kristian dengan nama sebenarnya Jasiah a/l Ravi. Beliau memeluk agama Islam ketika berusia 18 tahun.
Sejak dibangku sekolah, beliau mengikuti kelas Pendidikan Islam bersama kawan-kawan yang beragama Islam. Kisah-kisah sirah Nabi membuatkan beliau terbuka hati dan mendapat hidayah untuk kembali kepada fitrah. Lebih manis lagi, beliau berjaya mengislamkan ibunya sendiri dua bulan sebelum ibunya meninggal dunia dan abang beliau yang dahulunya menentang penghijrahan beliau akhirnya turut memeluk agama Islam seminggu sebelum meninggal dunia.
Walaupun sudah beragama islam, Syafiq Liow masih lagi menyambut dan tidak lupa akan perayaan Tahun Baru Cina. Baginya, Tahun Baru Cina merupakan perayaan atau sambutan budaya dan tiada unsur-unsur agama.
“Sebagai seorang Muslim, saya akan pastikan apa yang boleh dilakukan, dan apa yang tidak boleh dilakukan. Tahun Baru Cina ini sendiri adalah satu sambutan budaya, jadi tiada masalah untuk saya menyambutnya selagi saya tahu batas agama,” tegasnya.
Syafiq juga menasihati seluruh rakyat Malaysia di luar sana agar mempunyai ilmu dan ketahui tentang latar belakang sesuatu sambutan itu sebelum membuat kesimpulan sendiri.
BACA JUGA
Kuih bakul halal terima permintaan berganda sempena Tahun Baharu Cina