Semasa

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri ucap selamat menyambut Aidiladha

Baginda berdua menzahirkan rasa syukur kerana rakyat masih mampu meraikan Hari Raya Aidiladha dalam suasana sederhana dan harmoni

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1443 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Negeri Selangor.

Menurut hantaran yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda berdua menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana seluruh rakyat masih mampu meraikan Hari Raya Aidiladha dalam suasana yang sederhana dan harmoni.

“Baginda mahu agar semua umat Islam membesarkan Allah pada Hari Raya Aidiladha ini. Kepada Allah jualah kita bertawakal setelah berusaha. Menerusi setiap ujian ini menjadikan kita lebih matang dan lebih menghayati erti sebuah pengorbanan dan redha dengan takdir Allah SWT,” menurut hantaran tersebut.

Dalam pada itu, baginda menitahkan agar seluruh rakyat terus berwaspada dengan wabak Covid-19 yang masih menular dan kekal tabah dengan setiap dugaan yang mendatang.

Baginda turut mendoakan agar dipermudahkan segala urusan serta selamat pulang ke tanah air kepada umat Islam yang sedang menyempurnakan ibadah Haji di Tanah Suci Mekah dan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button