Sultan Selangor berkenan bendera Selangor dikibar separuh tiang hormati kemangkatan Ratu Elizabeth II
SHAH ALAM : Bendera negeri Selangor akan dikibar separuh tiang selama tiga hari mulai Sabtu ini sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 9 September lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, dalam satu kenyataan memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan mengenai perkara itu bagi menzahirkan hubungan baik baginda dengan Ratu Elizabeth II.
“Titah itu adalah sebagai tanda menghormati kemangkatan baginda Ratu di Istana Balmoral selepas 70 tahun menaiki takhta dan adalah monarki paling lama bertakhta dalam sejarah United Kingdom.
“Selaras titah berkenaan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat semalam menjunjung titah dan mengarahkan semua Jabatan dan agensi di Selangor mengibarkan bendera Negeri separuh tiang atas perkenan baginda Sultan Sharafuddin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Jumaat lalu, Ratu Elizabeth II, monarki paling lama memerintah dalam sejarah British, mangkat pada usia 96 tahun.
Berikutan pengumuman kemangkatan itu, putera tertua dalam kalangan empat anak Ratu Elizabeth II, Putera Charles diangkat sebagai raja dan dikenali sebagai Raja Charles III.