Sudan isytihar darurat, kerajaan dibubarkan
KHARTOUM : Ketua Majlis Tertinggi Sudan, Abdel Fattah al-Burhan telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan sekali gus membubarkan sistem pemerintahan.
Pengumuman komander tentera itu dibuat hanya beberapa jam selepas tentera menangkap Perdana Menteri, Abdalla Hamdok dan beberapa pegawai kanan lain dalam serbuan di rumah mereka.
Burhan berkata beliau akan membentuk kerajaan “berwibawa” yang akan memerintah Sudan sehingga pilihan raya pada Julai 2023.
Pihak tentera akan meneruskan peralihan demokrasi negara sehingga penyerahan kepada kerajaan yang dipilih oleh orang awam namun masih tidak diketahui bila.
Menurut Kementerian Penerangan dan Komunikasi Sudan, sejak rampasan kuasa gagal pada 21 September, ia telah mencetuskan ketegangan antara tentera dan pihak kerajaan peralihan.
Beberapa minggu lalu, Burhan menggesa kerajaan awam pimpinan Hamdok dibubarkan, dengan alasan langkah itu akan menyelesaikan kemelut politik semasa di negara ini.
Hamdok mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan tentera tersebut dianggap sebagai “rampasan kuasa sepenuhnya” dan menyeru rakyat Sudan untuk turun ke jalan untuk mempertahankan revolusi mereka secara aman.
-AGENSI