Semasa

Penangan filem Syahadan, pawagam Alamanda penuh penonton

PUTRAJAYA : Sambutan filem Syahadan di pawagam Alamanda, Putrajaya meriah dengan kehadiran penonton yang berbusana Melayu.

Barisan pelakon Syahadan, Al-Jufferi Jamari dan Rahman Anuar juga turut hadir bagi memeriahkan suasana di pawagam.

Kehadiran mereka itu adalah sebahagian usaha mempromosikan filem terbitan Trillion Marketing Sdn Bhd sejak yang ditayangkan bermula Khamis lalu, 17 Februari, di 41 pawagam negara ini.

Selain mempromosi filem tersebut, barisan pelakon yang hadir berkenaan juga sempat meluangkan masa hampir satu jam bersama peminat dan menandatangani poster filem Syahadan.

Jufferi ketika ditemui berkata, dia gembira melihat sambutan penonton filem ini di pawagam Alamanda, Putrajaya yang amat meriah apatah lagi mereka datang dengan mengenakan busana Melayu.

“Terima kasih kepada penonton yang memberi sambutan yang menggalakkan dan juga memberi sokongan untuk filem ini,” katanya.

Dia juga berkata, sebagai salah seorang pelakon utama dalam filem yang mengangkat warisan Melayu ini, besar harapannya supaya peminat tidak melepaskan peluang menonton kerana Syahadan adalah sebuah filem yang bukan sekadar hiburan tetapi juga mengajak penonton berfikir tentang kehidupan.

Salah seorang pengarah Syahadan, Halim Hassan meluahkan rasa gembira dan terharu kerana tempat duduk di dalam panggung penuh.

”Hari ini tiket Syahadan memang laku. Bukan sahaja dihadiri gabungan-gabungan persatuan silat malahan orang awam juga memenuhi panggung filem Syahadan ini,” ujarnya.

Syahadan mengisahkan tentang seorang remaja bernama Omar yang hidup tanpa matlamat yang sebenar. Ini menyebabkan ayahnya terpaksa menghantar Omar ke kampung untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat melalui kaedah persilatan.

Omar pada mulanya menentang dan tidak berminat mempelajari silat. Namun hatinya terbuka setelah gurunya Pak Daud berjaya menumpaskan empat orang samseng yang bersenjata di warung Kak Milah.

Di sepanjang sesi latihan silat bersama Pak Daud, Omar terpaksa berhadapan dengan cabaran latihan fizikal dan mental untuk membina jatidiri sebagai orang silat.

Setelah berjaya mewarisi ilmu persilatan, suatu hari Omar berdepan dengan kumpulan samseng yang merupakan sindiket penculikan kanak-kanak yang diketuai oleh Zed Punk.

Berjayakah Omar menumpaskan kumpulan samseng berkenaan? #SyahadanFilemKita

Senarai pawagam yang menayangkan filem Syahadan di seluruh Malaysia

 

Related Articles

Back to top button