Fitrah manusia tidak lari dengan sikap prihatin antara satu sama lain.
Akan tetapi ada pula sesetengah manusia yang terlebih ambil tahu perihal orang lain. Bak kata pepatah Melayu, jaga tepi kain orang.
Mana taknya apabila ada sesuatu perkara yang berlaku, individu ini tidak ketinggalan untuk menjadi orang pertama yang ambil tahu cerita dan menjadi penyampai cerita.
Mencampuri urusan orang lain yang bukan privasi diri sendiri pada dasarnya sangat tidak dianjurkan dalam Islam.
Bertepatan dengan ajaran Rasulullah S.A.W kepada seluruh umat Islam.
Selain akan menimbulkan fitnah, ikut campur dalam urusan orang lain dikatakan akan mengurangi kebahagiaan seseorang.
Allah SWT menyuruh hamba-Nya untuk sentiasa ‘tabayyun’ yakni bermaksud tapis atau siasat dahulu apabila menerima sebarang perkhabaran.
Kini, jika kita lihat di media sosial rata-rata pengguna platform itu tidak lari dari mengetahui sebarang berita atau gosip yang tersebar luas.
Ramai di luar sana hari ini sibuk mencampuri urusan orang lain sedangkan kesahihan berita tersebut masih belum jelas.
Adakah perbuatan ini telah menjadi norma dalam masyarakat terutamanya yang beragama Islam?
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi S.A.W bertanya kepada para sahabat;
“Tahukah kamu siapa orang yang muflis (bankrap)?
Sahabat menjawab:
“Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.
Balas Nabi S.A.W:
“Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) dia pernah menghina si polan, menuduh si polan dan pernah memukul si polan. Maka akan diberikan segala pahala kepada orang yang teraniaya itu, sehinggalah apabila telah habis pahalanya sedangkan beban dosa penganiayaannya belum selesai (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepadanya dan kemudian akan dilemparkan ke dalam api neraka.” [HR Muslim]
Oleh itu, sudah-sudahlah menjadi ‘makcik bawang’ dengan mengambil tahu urusan orang lain sehingga mendatangkan keburukan kepada orang lain dan tanpa sedar telah membawa binasa kepada diri sendiri.
Perbaikilah diri dan bermuhasabah adalah sebaik-baik tindakan.
Hormatilah privasi orang lain agar kehidupan bermasyarakat ini lebih harmoni.
Rujukan :
- https://www.malangtimes.com/baca/59888/20201107/082600/jangan-suka-campuri-urusan-orang-lain-begini-nasihat-rasulullah-saw
- https://www.mstar.com.my/xpose/addin/2019/04/12/sedap-membawang
- https://www.mingguanwanita.my/jangan-terlalu-sibuk-dengan-kehidupan-orang-lain-takut-hidup-sendiri-ketinggalan/