Semasa

Muzakarah khas bakal bincang rapatkan saf di masjid dan surau

PUTRAJAYA: Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), bakal memutuskan kebenaran untuk merapatkan saf bagi solat jemaah di masjid dan surau, Rabu ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, muzakarah tersebut turut membincangkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti masjid dan surau.

“Muzakarah pada kali ini bertujuan mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan membincangkan beberapa isu SOP, khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau.” katanya.

Tambah beliau, arahan telah diberikan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mengadakan muzakarah ekoran pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai peralihan fasa dan kelonggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Oktober lalu.

Selain KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Idris berkata semua ahli muzakarah yang terdiri daripada mufti negeri serta ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar turut dijemput hadir dalam muzakarah itu.

Idris juga percaya muzakarah ini akan dapat mencapai satu keputusan demi maslahah orang ramai dan berharap aktiviti masjid dan surau, khususnya solat berjemaah akan dibenarkan seperti sedia kala dengan pematuhan SOP tertentu.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button