PalestinSemasa

Hospital Gaza dibanjiri mangsa pengeboman

Dalam beberapa jam selepas gencatan senjata selama seminggu berakhir antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas, kementerian kesihatan Palaestin melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 60 orang telah terbunuh dalam serangan udara Israel.

Rakaman Reuters dari Hospital Nasser, yang kedua terbesar di Gaza, menunjukkan mangsa yang cedera dibawa masuk ketika ada mangsa lain menangis di luar di samping mayat orang tersayang yang terkorban dalam serangan.

Kumpulan bantuan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata sebahagian kecil kemudahan kesihatan di kawasan yang musnah itu masih berfungsi walaupun tidak berada dalam keadaan baik untuk menangani gelombang maut yang baru.

“Hospital di seluruh Gaza kekurangan bekalan asas, kakitangan dan bahan api untuk penjagaan kesihatan pada skala yang diperlukan, apatah lagi merawat kes-kes kecemasan dengan selamat,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Khamis.

Sistem kesihatan yang lumpuh

Gaza mempunyai 2.3 juta penduduk sebelum Israel memulakan pengeboman dan pencerobohan darat.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata lebih 15,000 penduduk Gaza telah disahkan terbunuh dan beribu-ribu lagi hilang dan dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan. PBB berkata sebanyak 80 peratus penduduk mungkin telah dihalau dari rumah mereka.

“Sistem kesihatan Gaza telah lumpuh akibat perang yang berterusan,” kata Dr Richard Peeperkorn, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Gaza.

“Ia tidak mampu kehilangan hospital atau katil hospital lagi,” katanya kepada pemberita melalui pautan video. “Kami amat bimbang tentang keganasan yang disambung semula.”

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button