Solat Jumaat di masjid di KL, Putrajaya dibenarkan 500 orang – JAWI

KUALA LUMPUR : Jumlah jemaah yang dibenarkan bagi solat Jumaat di masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah seramai 500 orang dan berkuat kuasa mulai hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata bilangan jemaah bagi tujuan sama di tujuk Masjid Zon dan Masjid Kariah dibenarkan seramai 250 orang manakala bagi Surau Jumaat ialah 150 orang dan Surau Diberi Kebenaran Khas untuk solat Jumaat pula seramai 100 orang.
Beliau turut berkata penetapan jumlah jemaah bagi tujuan sama di Surau Jumaat dan Surau Diberi Kebenaran Khas untuk solat Jumaat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibenarkan adalah seramai 80 orang.
“Kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi bilangan jemaah solat Jumaat tazkirah sebelum solat Jumaat dan tidak melebihi jemaah solat fardu bagi kuliah yang lain dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, ketetapan baharu itu dilaksanakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abduallah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan Peralihan Fasa PPN.
Bagi solat fardu di Kuala Lumpur dan Putrajaya, bilangan jemaah masjid di Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 200 orang, tujuh Masjid Zon dan Masjid Kariah (100 orang) manakala Surau Jumaat (50 orang).
Bilangan jemaah di Surau Diberi Kebenaran Khas untuk solat Jumaat pula dibenarkan seramai 50 orang manakala bagi Surau Jumaat serta Surau Diberi Kebenaran Khas untuk solat sama di PPR dan PA DBKL serta smeua surau dibenarkan seramai 40 orang.
Mohd Ajib berkata bagi Labuan yang berada dalam Fasa Empat PPN, bilangan jemaah solat Jumaat di semua Masjid Zon, Masjid Kariah, Surau Jumaat dan Surau Diberi Kebenaran Khas untuk solat Jumaat dibenarkan separuh daripada kapasiti sebenar, yang turut berkuat kuasa hari ini.
Pada masa sama, bilangan jemaah bagi solat fardu di semua masjid dan surau dibenarkan mengikut keluasan dewan solat utama.
Dalam pada itu, beliau berkata kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi bilangan jemaah solat Jumaat bagi tazkirah sebelum solat Jumaat dan tidak melebihi jemaah solat fardu untuk kuliah yang lain, dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
“Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan.
“Semoga umat Islam, khususkan di Wilayah Persekutuan, terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berkahir,” katanya.
Oleh Hafeez Anuar