Covid19KerohanianSemasa

Dulu dia urus jenazah COVID-19, semalam orang uruskan dia….

Petugas urus jenazah COVID-19 , gugur

KAJANG :   [VIDEO] Setakat semalam 6 Jun seramai 83 kes kematian dicatat menjadi korban wabak maut COVID-19 menjadikan keseluruhan mangsa COVID-19 ialah 3,378 kes. Daripada jumlah itu tidak pula diketahui berapa jumlah jenazah orang Islam. Menurut Kementerian Kesihatan, dari sudut perubatan tidak manis untuk disebut korban wabak daripada keturunan apa, dan siapa, lebih-lebih lagi pada waktu wabak. Kata mereka yang penting adalah mencegah, merawat manakala yang `tewas’ disempurnakan sebaik mungkin.

Semalam negara kehilangan seorang petugas Pengurusan Jenazah Mangsa COVID-19. Gugurnya beliau juga sebagai seorang mangsa pesakit COVID-19.

                                 إنا لله وإنا إليه راجعون

Dulu beliaulah orang yang mengurus jenazah, kali ini jenazahnya pula diuruskan  kerana menjadi korban COVID-19. Besar jasa beliau kepada umat Islam di Labuan

Demikian antara luahan ringkas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamed Al Bakri, di atas pemergian staf Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Allahyarham Datu Mohamad Sadam bin Turan.  Datu, 30,  kembali ke Rahmatullah pada Isya semalam, lebih kurang jam 8.00 malam, setelah dua hari mendapat rawatan COVID-19 di Pusat Rawatan Rapi, ICU. Datuk Seri Zulkifli menerima berita pemergiannya melalui  pesanan ringkas di aplikasi WhatsApp.

“Setiap kali saya mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan, beliau adalah antara individu terawal yang akan menyambut saya di Lapangan Terbang Labuan.  Sesungguhnya arwah adalah anak muda yang baik, peramah dan suka menolong orang (kerja dakwah). Saya doakan moga almarhum Datu Sadam bin Turan dikurniakan syahid. Moga ibu bapa dan keluarga beliau dikurniakan ketabahan dan kesabaran. Amiin” –

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Setiap petugas pengurusan jenazah COVID-19 sentiasa mematuhi SOP yang ketat. Selain mental yang kuat, fizikal juga kuat untuk berdepan situasi berisiko tinggi dengan kemungkinan dijangkiti virus maut itu.

Bagi Pengurus Jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Ustaz Nursyamsul Abdul Roni, 40, meletakkan diri sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk berada dalam situasi berisiko tinggi bagi tempoh panjang dengan kemungkinan dijangkiti virus maut.  Itu antara cabaran perlu didepani petugas barisan hadapan ketika menguruskan jenazah pesakit Covid-19 terutama dengan angka kematian tinggi sejak kebelakangan ini.

Memetik Harian Metro, beliau berkata beliau menyedari ada risiko tambahan seperti apabila pulang ke rumah dan bertemu keluarga sebaik selesai menguruskan jenazah, tetapi dilakukan dalam keadaan berwaspada.

“Prosedur operasi standard (SOP) mesti dipatuhi dengan ketat meskipun di luar tugas terutama bersama keluarga. Kebimbangan sentiasa ada, perlu sentiasa berhati-hati. Setiba di rumah, saya tidak benarkan isteri dan dua anak lelaki berusia enam serta 10 tahun mendekati saya.”

“Saya suka dengan job (tugas) ini. Sebab itu, apabila kosong, saya masuk line (sukarela untuk bertugas). Alhamdulillah, sehingga kini, saya membantu menguruskan 130 jenazah pesakit Covid-19. Khamis lalu, saya urus satu jenazah di Hospital Ampang pada sebelah pagi dan empat jenazah di HKL pada petangnya. Saya tidak perlu nama disenarai, sebaliknya lakukan secara sukarela,” – Ustaz Nursyamsul Abdul Roni / Pengurus Jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

“Setakat 22 Mei lalu, 347 jenazah disyaki atau disahkan dijangkiti virus Covid-19 disempurnakan Pasukan Petugas Pengurusan Jenazah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM dan JAWI)

“Petugas perlu bersedia berhadapan dengan persoalan dan pertanyaan yang sering diajukan oleh waris. Pengurusan jenazah disyaki atau disahkan dijangkiti virus Covid-19 berbeza dengan pengurusan jenazah biasa. Kami memahami perasaan waris yang terlalu sedih. Pematuhan kepada SOP yang tidak membenarkan memegang, memeluk dan menyentuh jenazah memang menyentuh perasaan,”- Ustaz Nursyamsul Abdul Roni / Pengurus Jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Selain itu, Nursyamsul berkata, waris tidak dibenarkan untuk terbabit dalam pengurusan jenazah kecuali melihat seketika bagi pengecaman dan solat jenazah. Penjelasan yang tepat perlu diberi supaya waris faham keadaan ini,” katanya.

“Bagi orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19, ia termasuk dalam kategori meninggal dunia dalam wabak dan dia mendapat pahala syahid seperti syuhada lain,”

Sama-sama kita sedekahkan Surah al-Fatihah kepada petugas dan pesakit yang gugur akibat wabak COVID-19 :

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

اللَّهُـمَّ اغْفِـرْ لَهُ ، وَارْحَمْـهُ ، وَعَافِهِ ، وَاعْفُ عَنْـهُ ، وَأَكْـرِمْ نُزُلَـهُ ، وَوَسِّـعْ مُدْخَـلَهُ ، وَاغْسِلْـهُ بِالْمَـاءِ وَالثَّـلْجِ وَالْبَـرَدِ ، وَنَقِّـهِ مِنَ الْخَطَـايَا كَمَا نَـقَّيْتَ الـثَّوْبَ الأَبْيَـضَ مِنَ الدَّنَـسِ،وَأَبْـدِلْهُ دَارًا خَـيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلًا خَـيْرًا مِنْ أَهْلِـهِ ، وَزَوْجًا خَـيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِـلْهُ الْجَـنَّةَ ، وَأَعِـذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَـبْرِ وَعَذَابِ النَّـارِ

Related Articles

Back to top button