Covid19Semasa

Solat jemaah dibenarkan di Wilayah Persekutuan bermula esok

KUALA LUMPUR : Solat jumaat dan fardu lima waktu akan dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan bermula esok.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata kebenaran itu juga termasuk dengan solat sunat Aidiladha.

Katanya, kebenaran itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dilaksanakan berdasarkan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Beliau berkata, bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan untuk solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha dibenarkan dengan had kapasiti 300 jemaah.

“Bilangan jemaah di lapan masjid pusat zon dibenarkan seramai 100 orang manakala jemaah di masjid kariah dan surau jumaat adalah seramai 50 orang.

“Bilangan jemaah di surau diberi kebenaran khas untuk solat Jumaat adalah seramai 40 orang. Bilangan jemaah di surau Jumaat projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) Dewan Bandara Kuala Lumpur dibenarkan seramai 12 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi solat fardhu, katanya, bilangan jemaah di masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 100 orang manakala jemaah di lapan masjid pusat zon dibenarkan seramai 50 orang.

“Bilangan jemaah di masjid kariah dan surau jumaat dibenarkan seramai 30 orang dan surau yang diberi kebenaran khas untuk dirikan solat Jumaat dibenarkan 20 orang.

“Bilangan jemaah di Surau Jumaat PPR dan PA DBKL serta semua surau dibenarkan seramai 12 orang,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan umat Islam supaya terus mematuhi SOP dan penjarakkan sosial ketika berkunjung ke masjid dan surau.

“Saya harap semua dapat mengunjungi masjid yang sudah berdaftar serta mengikut SOP yang ditetapkan. Imarah masjid ini adalah wajib, bukannya sunat.

“Kita sebagai umat Islam, Allah sendiri suruh kita mengimarahkan dan sepatutnya kita imarahkanlah masjid berkenaan. Datang masjid ini ia membabitkan syiar Islam kerana ia membabitkan solat Jumaat, solat fardu dan sebagainya.

“Yang penting adalah kita ikut SOP dan ada penjarakan sosial supaya kita terhindar daripada wabak Covid-19 ,” katanya.

Oleh : Azzman Jamal dan Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

Related Articles

Back to top button