Semasa

Sifat prihatin adalah budaya Islam

Bukan sahaja sesama manusia, tapi seisi alam - aktivis MAPIM

Malaysia Prihatin!  Itulah tema hari kebangsaan ke – 63 buat negara tercinta.

Keprihatinan rakyat dan kerajaan terserlah ketika Covid-19 tercetus di seluruh dunia.

Sesungguhnya setiap yang terjadi ada hikmah disebaliknya,  sikap positif yang timbul daripada kesan wabak itu perlu dijadikan iktibar.

UmmahToday mendapatkan pandangan makna dan pentingnya prihatin dari sudut Islam.

Menurut  Pengetua Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasatil Islamiyyah, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, Islam adalah agama prihatin.

Islam adalah agama prihatin dan prihatin dari sudut Islam adalah satu aspek yang amat dititikberatkan dan perlu dihayati setiap insan.

Menurut beliau, prihatin yang diajar Islam bukan setakat mewujudkan nilai keprihatinan dalam diri manusia sesama manusia, malah lebih daripada itu sehinggakan prihatin kepada alam sejagat, termasuk haiwan yang tidak dikurniakan akal dan fikiran.

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW telah banyak memaparkan contoh-contoh aspek keprihatinan yang dituntut dalam Islam.

Bukan sahaja pada keadaan tenang dan makmur,  malah dalam waktu sukar seperti peperangan.

Katanya, Nabi Muhammad SAW berpesan dan menghalang orang Islam daripada menyakiti mereka yang tidak berdaya, ketika berperang.

Begitu juga tidak boleh sama sekali mengapa-apakan wanita dan kanak-kanak, serta  dilarang membakar rumah-rumah mangsa peperangan.

Baginda telah menunjukkan bahawa sikap prihatin ini adalah satu budaya Islam yang perlu diamalkan walau dalam setiap keadaan, senang dan susah.

Selaku aktivis kemanusiaan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, Maulana banyak terbabit dalam misi-misi kemanusiaan yang dianjurkan oleh MAPIM.

Pastinya rasa kemanusiaan terlihat dalam aspek membantu mangsa-mangsa yang amat memerlukan pertolongan juga kepada pelarian-pelarian di luar negara.

Misalnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang diarah kerajaan, demi mengekang penularan wabak Covid-19, ramai yang terkesan – hilang pekerjaan, dicutikan, tiada perniagaan beroperasi dan terputus makanan harian,

Maka antara misi MAPIM membantu mereka ialah mencari dana mengajak rakyat Malaysia sama-sama membantu antaranya menerusi Halaqah Ummah yang disertai beliau menerangkan hikmah menyalurkan bantuan kepada ummah.

Tambah Maulana, sememangnya sikap prihatin dianjurkan Islam dan wajar diteladani masyarkat Malaysia yang tinggal dalam suasana aman dan harmoni ketika ini.

Dalam situasi kehidupan rakyat berbilang kaum dan agama, semua rakyat pastinya baik Islam dan bukan Islam perlu prihatin untuk tidak menyakiti dan melukakan perasaan masing-masing.

Bagi beliau, gagal bersikap prihatin menjaga perasaan akan membawa kehancuran dan kerosakan terhadap apa yang dimiliki Malaysia selama 63 tahun hari ini.

Katanya – sempena kemerdekaan marilah sama-sama semarakkan makna kemerdekaan dan menjadi warga prihatin sempena tema tahun ini. InsyaAllah!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Malaysia Prihatin!

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button