Semasa

Malaysia dan pakar sejarah dari China jalin kerjasama kaji Kedah Tua

BEIJING – Kedah Tua adalah antara tamadun awal di Tanah Melayu. Maklumat berkenaan Kedah Tua banyak dicatatkan dari rekod sejarah China. Untuk kajian lebih mendalam, Malaysia akan bekerjasama dengan pakar sejarah dari China bagi mendapatkan lebih banyak bahan sejarah mengenai Kedah Tua secara khususnya dan negara secara amnya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata sejarah mengenai Melayu lama telah dicatatkan dengan banyak oleh seorang tokoh China Bujannga Yi-Jing, yang pernah menjejakkan kakinya di Lembah Bujang pada abad ke-7.

Beliau berkata perkara itu berdasarkan kepada banyak bahan sejarah Tanah Melayu, yang perlu dikaji dan dipelajari daripada sumber di China.

Aaron menambah kerjasama itu akan turut melibatkan Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan juga Muzium Negara.

Sementara itu, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia Datuk Goh Hin San berkata beberapa fakta sejarah yang tidak lengkap, boleh diselesaikan menerusi pertukaran dan bantuan pakar.

Goh turut memaklumkan usaha sama antara pakar sejarah dari China dan organisasi dari Malaysia itu, akan mencipta sejarah kerana ia membentuk nilai teras asas untuk perpaduan semua kumpulan etnik.

Beliau juga mencadangkan pihak yang berkaitan untuk menganjurkan seminar pertukaran bahan dan menterjemah bahan sejarah ke dalam bahasa Melayu dan Inggeris, bagi mempromosikannya.

Related Articles

Back to top button