Semasa

Rogol bukan mainan

#MakeSchoolASaferPlace bukti orang ramai berang

KUALA LUMPUR :   Beberapa hari lalu tular di laman sosial Twitter dakwaan seorang pelajar perempuan memaklumkan guru di sekolahnya membuat jenaka lucah di dalam kelas.

Dalam video berdurasi 59 saat itu, pelajar perempuan terbabit mengatakan ketika sesi pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) sedang berjalan, pada awalnya guru terbabit hanya berlawak secara bersahaja, namun, lama kelamaan jenaka itu berterusan sehingga mejadi aneh dan lucah.

Biarpun jenaka itu diselar oleh beberapa pelajar perempuan di dalam kelas itu dengan menyebut hukuman dan undang-undang yang sedia ada kepada pelaku gangguan seksual, malang sekali guru yang tidak bertanggungjawab itu membidas jawapan anak gadis dengan ayat :

“So, nanti kalau nak rogol, jangan lah rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang atas 18 tahun.”

Bukankah seorang guru itu sewajarnya menjadi penjaga kedua dan pelindung selain ibu bapa yang boleh dipercayai atas tanggungjawab mereka sebagai pendidik?

Secara tidak langsung, isu sebegini mencemar nama baik mereka dan mendatangkan persoalan adakah tenaga pengajar pada masa kini memandang enteng akan etika sebagai pendidik?

Luahan pelajar wanita terhadap kelakuan biadap gurunya. Sumber : Instagram @ant33ater

Bukan itu sahaja, pelajar berusia belasan tahun ini juga berdepan pelbagai tomahan dan kata-kata keji yang dilemparkan terhadapnya. Lebih teruk, cercaan ini dikatakan sendiri oleh rakan-rakan lelaki di sekolah yang sama.

Merujuk pada gambar di atas, antara klip rakaman suara yang diterima melibatkan ugutan rogol yang dilontarkan oleh pelajar lelaki sehingga mengakibatkan beliau takut untuk hadir ke sekolah dan merasakan dirinya tidak lagi selamat untuk belajar di sekolah seperti anak-anak lain seusia dengannya.

Sejak itu, #MakeSchoolASaferPlace tular di laman sosial Twitter bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kelakuan biadap segelintir pada pendidik dan pelajar lelaki yang menganggap jenaka lucah merupakan satu kebiasaan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Profesor Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, mengeluarkan kenyataan di laman rasmi Facebook Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Occ Suhakam, beliau menyelar tindakan pihak sekolah melakukan pemeriksaan period di sekolah-sekolah awam di Malaysia. Dalam kenyataan itu juga, beliau menegaskan isu gangguan seksual yang berleluasa dalam persekitaran sekolah merupakan satu pelanggaran terhadap hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang.

Tambah beliau, gangguan seksual ini selaras dengan Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) yang diraktifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995. Di bawah Konvensyen  yang sama, dinyatakan kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi, perlindungan daripada mana-mana penyalahgunaan, keganasan dan pengabaian serta perlindungan dari segala jenis eksploitasi yang merangkumi gangguan seksual dan apa-apa bentuk seksual.

 

Gangguan seksual boleh diklasifikasikan sebagai perlakuan yang kurang disenangi melalui kata-kata, isyarat, sentuhan, psikologi dan visual yang berunsurkan seks yang biasannya dilakukan berulang-ulang.

Dalam kes pelajar wanita ini, guru tersebut telah membuat gangguan seksual secara lisan terhadap pelajar di dalam kelasnya dengan menggunakan jenaka yang berunsur lucah.

Sehingga kini, masyarakat bersama-sama mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membanteras, menyiasat dan mengenakan tindakan sewajarnya bagi pelaku gangguan seksual dalam kalangan pelajar sekolah.

Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button