Sheikh Raed Salah dibebaskan dari penjara Israel
Pihak berkuasa Israel membebaskan seorang dianggap ikon bagi rakyat Palestin, Sheikh Raed Salah selepas 17 bulan dipenjarakan, menurut peguam pembelanya.
“Salah telah dibebaskan dari penjara dan dalam perjalanan pulang,” Omar Khamaysi memberitahu Anadolu Agency.
Puluhan rakyat Palestin berdiri di luar penjara Megiddo di utara Israel untuk menyambut Salah sambil mengibarkan sepanduk hijau.
Jawatankuasa Susulan Tinggi untuk Warga Arab Israel, badan perwakilan tertinggi penduduk Arab Israel, juga merancang untuk menganjurkan majlis resepsi untuk Salah di kampung halamannya Umm al-Fahm.
“Syeikh Salah dipenjarakan secara tidak adil, beliau hanya mahu menegakkan prinsip rakyat kita dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa yang diberkati,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan pada Ahad.
Salah, yang juga ketua Pergerakan Islam cawangan di utara Israel, telah ditahan pada Ogos 2017 atas dakwaan hasutan berhubung kritikannya terhadap pendirian pengesan logam di perkarangan Masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 28 bulan oleh mahkamah Israel dan menjalani hukuman penjara 11 bulan, separuh daripadanya berada dalam kurungan bersendirian sebelum dipindahkan ke tahanan rumah.
Selepas dua tahun di bawah tahanan rumah, pada Ogos 2020, Salah memulakan hukuman penjara 17 bulan atas tuduhan menghasut.
Salah dikenali dengan ketegasan beliau mempertahankan perkarangan Masjid Al-Aqsa dan hak Palestin, dan telah mengadakan beberapa protes terhadap dasar Israel dan berkempen menentang perluasan penempatan Israel di wilayah yang diceroboh.
Sejak 2015, Israel telah melarang Salah daripada melancong ke luar negara atas sebab yang kononnya berkaitan dengan “keselamatan negara”.
Gerakan Islam yang telah diasaskan oleh Salah pada tahun 1971, telah diharamkan oleh pihak berkuasa Israel sejak 2015.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa yang sama telah berulang kali menangkap Salah dan menutup berpuluh-puluh organisasi, termasuk beberapa badan amal, atas dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulannya.
-AGENSI