DuniaSyria

Selepas tragedi Rayan, kes penculikan Fawaz Al-Qutayfan kini jadi perhatian dunia

DARAA : Kanak-kanak Syria yang menjadi mangsa culik di Daraa, Fawaz al-Qutayfan, 6 kini menjadi perhatian dunia selepas video dia diseksa oleh penculik serta meminta wang tebusan dari keluarganya tular di media sosial.

Video yang tersebar menunjukkan Fawaz disebat secara kejam oleh penculik bertopeng menggunakan tali pinggang kulit dalam keadaan separuh bogel.

Fawaz yang bertubuh kecil itu tidak mempunyai kekuatan untuk melawan, sebaliknya hanya mampu merayu kepada penculiknya dengan ungkapan “Dengan nama Tuhan, tolong berhenti pukul saya.”

Menurut Kumpulan Pemerhati untuk Hak Asasi Manusia Syria penculik tersebut memaksa keluarga dan saudara-maranya membayar wang tebusan sebanyak 500 juta pound Syria (RM4,271,300).

Walaupun kes Fawaz sudah berlangsung selama 3 bulan, namun dengan tersebarnya video tersebut selepas kes kanak-kanak Maghribi yang terperangkap dalam perigi telah menarik semula perhatian dari masyarakat seluruh dunia.

Saksi kejadian ketika mangsa diculik memberitahu bahawa pada November lalu, lelaki bertopeng yang menunggang motosikal memintas jalan di hadapan Fawaz dan abangnya ketika sedang dalam perjalanan ke sekolah lalu menculiknya.

Penculik turut telah menghantar beberapa video kepada keluarganya yang merayu agar ibu bapanya membayar wang tebusan itu.

Masyarakat Islam di seluruh dunia kini menggunakan tanda pagar #SaveFawaz sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dan gesaan bagi pembebasan kanak-kanak tersebut.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button