Harga beras global berada pada paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Lonjakan itu susulan pengumuman India pada 20 Julai bahawa ia akan menghentikan eksport beras bukan basmati berkuat kuasa serta-merta. Keputusan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Rusia menarik diri daripada Inisiatif Bijian Laut Hitam, menyebabkan harga komoditi makanan global meningkat.
Peniaga berkata kekurangan beras akan memberi kesan ke atas gandum, kacang soya, dan jagung, yang digunakan sebagai pengganti beras.
Amalan menanam padi dipercayai bermula kira-kira 8,000 SM di sepanjang Sungai Yangtze di tengah China dan kemudian meluas ke India dan bahagian lain di Asia.
Beras adalah bijirin ketiga paling banyak dihasilkan di dunia selepas jagung dan gandum dan lazimnya mengambil masa 90 hingga 200 hari untuk tumbuh bergantung pada varieti dan keadaan persekitaran.
Terdapat beribu-ribu varieti beras di seluruh dunia, setiap satunya berbeza dari segi saiz bijian, bentuk, warna, tekstur dan ciri masakan.
Padi adalah salah satu tanaman yang memerlukan banyak air untuk tumbuh, biasanya memerlukan 3,000 hingga 5,000 liter air bagi setiap kilogram tanaman – kira-kira tiga kali lebih banyak air daripada yang gandum perlukan.
Larangan eksport India dikenakan untuk mengawal harga domestik dan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap cuaca El Nino yang semakin panas, yang boleh menyebabkan kemarau yang membawa kepada hasil yang lebih rendah atau kegagalan tanaman.
Beras domestik yang murah telah menjadikan India pengeksport beras terbesar dunia, menyumbang hampir 40 peratus daripada jumlah eksport beras, yang diunjurkan mencecah 54 juta tan sepanjang tahun tanaman 2022-2023.
India mengeksport anggaran 20.5 juta tan beras tahun ini, hampir 2.5 kali ganda daripada pengeksport kedua terbesar, Thailand dengan 8.5 juta tan. Thailand diikuti oleh Vietnam (7.9 juta tan), Pakistan (3.6 juta tan) dan Amerika Syarikat (2.1 juta tan).
India telah mendominasi eksport beras sejak sedekad lalu disebabkan harga tempatan yang rendah dan stok domestik yang tinggi, yang membolehkan negara itu menawarkan beras pada harga diskaun.
Dari Januari hingga Julai, India mengeksport kira-kira 12.9 juta tan beras bernilai hampir $7 bilion kepada sekurang-kurangnya 150 negara, menurut Direktorat Jeneral Perisikan Komersial dan Statistik India.
Tiga perempat (77 peratus) daripada eksport beras India adalah beras bukan basmati manakala baki suku (23 peratus) adalah beras basmati.
Benin telah membeli 1.17 juta tan beras bukan basmati India, paling banyak tahun ini diikuti oleh Senegal (872,080 tan) dan Kenya (685,302 tan).
Lapan daripada 10 destinasi teratas untuk beras India adalah negara Afrika yang kebanyakannya mengimport beras hancur, jenis yang paling murah dan paling mengenyangkan.
Pembeli beras basmati terbesar India tahun ini ialah Arab Saudi (639,150 tan), Iran (545,751 tan) dan Iraq (383,687 tan).
Selepas larangan India, Jabatan Pertanian AS (USDA) telah menurunkan ramalan perdagangan beras global untuk 2023 dan 2024 dengan berkata perdagangan pada tahun kalender 2024 untuk beras diunjurkan menjadi 52.9 juta tan, turun sebanyak 3.44 juta tan daripada sebelumnya.
Larangan itu telah memberi kesan ke atas harga varieti beras lain, dan harga beras yang tinggi tidak mungkin turun dalam jangka pendek. FAO telah mencadangkan sebarang kemungkinan pemulihan dalam perdagangan beras menjelang tahun depan akan memerlukan sekatan eksport India ditarik balik.
SUMBER : AL JAZEERA / Hanna Duggal dan Marium Ali