Sanggup bergadai nyawa – Rafiq, Iqbal terima pingat keberanian daripada kerajaan Norway
Sempena memperingati setahun kejadian tembakan rambang di Oslo
Demi menyelamatkan nyawa insan lain, dua orang warga emas sanggup bergelut dengan penyerang bersenjata di masjid di Oslo, Norway, 10 Ogos tahun lalu.
Di atas keberanian dan tindakan mereka menyelamatkan nyawa yang lain, Kerajaan Norway menganugerahkan Muhammad Rafiq, 66, dan Muhammad Iqbal, sempena ulang tahun memperingati serangan itu.
Kedua-duanya bergelut dengan lelaki bersenjata, Philip Manshaus, 22 tahun, pengikut fahaman Neo-Nazi, dan berjaya mengelakkan kejadian lebih buruk.
Medal itu adalah pengiktirafan kerajaan Norway terhadap mereka yang berani menyelamatkan nyawa insan lain, dan mempertaruhkan nyawa sendiri demi keselamatan ummah.
Rafiq dan Iqbal menerima medal itu yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Norway, Iselin Nybo.
Nybo berkata tindakan pantas mereka berdua mampu mengelakkan kemusnahan lebih besar.
Dua bulan lalu, Manshaus dijatuhi hukuman penjara 21 tahun kerana membunuh kakak tirinya yang berketurunan Cina.
Dia kemudian melepaskan tembakan rambang di masjid AL-Noor di Pusat Islam Baerum, Oslo pada sambutan Aidil Adha.
Ketika pengadilan dilakukan ke atasnya Manshaus berkata dia kesal tidak dapat berbuat lebih daripada apa yang terjadi dan tindakannya adalah sebagai satu keadilan segera.
Hakim Daerah Oslo, Annika Lindstroem, ketika hujahnya menyebut Manshaus merancang membunuh sebanyak mungkin orang dan berhasrat membakar masjid itu.
Tambah Lindstroem, Manshaus berkata Eropah kini dijajah etnik lain dan bangsa Eropah kini diambang kepupusan.
Mahkamah juga diberitahu Manshaus sakit mental, penyiasat juga menemui gambar Adolf Hitler pada telefon bimbitnya pada hari kejadian.
Manshaus juga dikatakan terpengaruh dengan insiden berdarah di masjid Christchurch, New Zealand pada Mac 2019, yang meragut 51 nyawa. – http://eumuslims.org/