Rusuhan di kepulauan Solomon, 1,181 warga Malaysia disahkan selamat
PUTRAJAYA : Kesemua 231 rakyat Malaysia di kepulauan Solomon manakala 950 lagi berada di kawasan luar bandar dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata mereka memantau rapat perkembangan terkini di kepulauan Solomon, ekoran pergolakan dan tunjuk perasaan yang berlaku di bandar Honiara.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea sentiasa berhubung rapat dengan rakyat Malaysia di Kepulauan Solomon melalui Konsulat Kehormat Malaysia di negara berkenaan.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Kepulauan Solomon disarankan untuk menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby atau kementerian,” menurut kenyataan itu.
Menurut laporan media, insiden kebakaran berlaku di bandar raya berkenaan berikutan protes antikerajaan menuntut Perdana Menteri Manasseh Sogavare meletak jawatan yang berlarutan sehingga Rabu lalu.
Sebuah balai polis dan bangunan di kawasan Parlimen turut dibakar.
Sogavare pada Rabu mengenakan sekatan pergerakan selama 36 jam di Honiara tetapi tidak diendah penunjuk perasaan.
Australia turut menghantar anggota polis dan tenteranya ke Kepulauan Solomon pada Jumaat untuk membantu mengawal rusuhan.
Oleh Hafeez Anuar