KUALA LUMPUR: Hari ini, Khamis 29 Ramadan 1444H adalah hari umat Islam di Malaysia terutamanya melihat anak bulan seterusnya akan menentukan bila secara tepat tarikh 1 Syawal.
Sejak sebelum kedatangan Islam lagi masyarakat Arab sudah menyukat masa mengikut kitaran bulan dan tradisi itu diteruskan setelah mana cahaya Islam yang dibawa رحمةٌ للعالمين baginda Nabi Muhammad SAW menyinari alam.
Perintah untuk berpuasa pada bulan Ramadan oleh Allah SWT diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah pada tahun ke-2 selepas Baginda dan umat Islam berhijrah dari Mekah ke kota Madinah. Bulan itu jugalah menjadi saksi bagaimana umat Islam diheret mengharungi Perang Badar iaitu pada 17 Ramadan.
Menurut hadis riwayat Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW mendapat tahu bahawa rakyat Madinah menyambut hari Nowruz dan Mahrajan, dua perayaan tradisi yang diterap daripada amalan penganut Majusi atau Zoroastrian.
Setelah kemenangan besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada tentera Islam pada Perang Badar beserta kejayaan menahan diri sepanjang bulan Ramadan, Rasulullah bersabda bahawa umat Islam kini mempunyai hari kebesarannya sendiri.
Maka sejak itu, aktiviti menanti ketibaan anak bulan Syawal selepas berlalunya bulan Ramadan menjadi sesuatu yang amat dinantikan oleh umat Islam untuk menyambut perayaan Aidilfitri.
Penentuan ketibaan Syawal pada asalnya dibuat secara rukhyah iaitu melihat anak bulan dengan mata. Seiring perubahan zaman dan perkembangan teknologi, caranya lebih mudah dengan penggunaan teleskop.
Seterusnya apabila berkembangnya ilmu hisab, penentuan ketibaan Syawal ditentukan dengan perkiraan matematik dan astronomi.
Di Malaysia, kita menerapkan kedua-dua cara sebelum Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh sambutan Aidilfitri.
BACA JUGA
Esok raya! Rakyat Malaysia berhari raya pada Sabtu