DuniaSemasa
Trending

Pulau Socotra tempat ‘kurungan’ Al-Masih Dajjal

Diiktiraf sebagai pulau dengan tumbuhan dan haiwan unik

Fatima berkata, Baginda Rasulullah S.A.W bersabda :

“…Aku tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur. Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah Timur.” (Hadis Riwayat Muslim, 7496)

Ramai yang mendakwa Al- Masih Dajjal berada di sebuah pulau terpencil yang dikenali sebagai Pulau Socotra kerana geografi pulau itu yang berada di bahagian tenggara, Republik Yaman.

Namun, kesahihan akan dakwaan ini hanya Allah SWT yang lebih mengetahui. Wallahu A’lam

Walau bagaimanapun, Pulau Socotra ini amat unik jika kita lihat sekali imbas.

Isi bumi yang berbeza dari yang lain menyebabkan pulau ini mendapat julukan gelaran Pulau ‘Alien’ kerana tumbuhan dan haiwan yang berada di situ semuanya aneh.

Socotra merupakan sebuah kepulauan terpencil dengan keluasan 3,796 kilometer persegi, ia didiami oleh sejumlah 50,000 orang penghuni tetap, yang mana hampir keseluruhannya merupakan penduduk asal pulau ini.

Nama Pulau Socotra ini berasal daripada perkataan bahasa sanskrit kuno yang bermaksud kebahagiaan. Hal ini, cukup memaparkan bagaimana indahnya permata biodiversiti yang terkandung di tanah Arab ini.

Bukan itu sahaja, keindahan pulau ini membuatkan sesiapa yang datang ke situ seolah-olah berada di alam fantasi dan cerita kartun !

Merujuk kajian Royal Botanic Garden Edinburgh, 307 daripada 825 spesies tumbuhan di sini adalah endemik iaitu spesies tumbuhan yang tidak ditemui di tempat lain di bumi.

Ini bermaksud tumbuhan ini hanya tumbuh di Socotra sahaja dan beberapa spesies tersebut dianggarkan telah berusia lebih daripada 20 juta tahun !

Salah satu flora yang terkenal di Socotra ialah pokok Darah Naga (Dracanea Cinnabari).

 

Ia dikenali sebagai pokok Darah Naga kerana getahnya berwarna merah. Penduduk tempatan percaya bahawa getah pohon ini mampu menyembuhkan penyakit. Ada juga yang menggunakan getah pokok ini sebagai pewarna semula jadi.

Tumbuhan ini menjadi simbolik pulau Socotra kerana bentuknya mirip cendawan besar atau payung gergasi yang mampu menjadi tempat berteduh beberapa orang dewasa.

Pohon unik lain yang terdapat di pulau ini juga adalah pokok timun raksasa (dendrosicyos socotranus).

Nama sahaja timun, tetapi bentuknya sangat lain dan tidak serupa timun langsung !

Batangnya besar dengan sedikit cabang halus pada bahagian pucuk serta memiliki bunga-bunga kecil.

Menarik bukan?

Walaupun, pulau ini jauh terpencil dan sukar untuk pelancong memasukinya ekoran laluan yang mencabar, tetapi penduduknya giat menjalankan kerja-kerja seperti nelayan, menternak haiwan dan menanam pokok.

Di samping itu, pulau ini juga kaya dengan habitat spesies burung endemik seperti Socotra Starling Onychognathus Frater, Socotra Sunbird Nectarinia Balfouri, Socotra Sparrow Passer Insularis, Grosbeak Socotra Rhynchostruthus Socotranus serta burung ‘penyanyi’ Incana incana.

Pada tahun 2008, UNESCO telah mengiktiraf pulau ini sebagai tapak warisan alam dunia dan kelestarian kawasan ini dijaga baik oleh pihak berwajib.

Sebarang pembangunan adalah dilarang sama sekali, jadi tidak hairan jika tiada hotel, restoran mahupun bangunan lain dibangunkan di situ.

Hanya ada sebatang jalan raya sahaja dibina, itu pun atas dasar untuk memberi kemudahan kepada penduduk tempatan.

 

 

Related Articles

Back to top button