Puasa enam di bulan Syawal pelengkap amalan fardhu
Sudah seminggu umat Islam di seluruh dunia menyambut hari kemenangan, Hari Raya Aidilfitri bersama dengan keluarga dan sanak-saudara baik yang dekat mahupun yang jauh.
Lebuh raya dipenuhi dengan kereta selepas dua tahun terbantut berikutan pandemik Covid-19, namun tahun ini orang kita nampaknya lebih bersemangat untuk pulang ke kampung halaman meskipun perjalanan mengambil masa berbelas jam untuk sampai ke destinasi.
Dalam kemeriahan menyambut bulan Syawal ini, tidak dilupakan satu ibadah sunat yang dituntut dalam Islam dalam bulan ini iaitu puasa enam.
Amalan Nabi SAW berdasarkan hadis mengenai kelebihan berpuasa enam hari pada Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun.
Puasa sunat enam hari pada Syawal adalah sebahagian daripada puasa sunat sepanjang tahun yang disarankan dalam Islam selain puasa wajib sebulan ketika Ramadan.
Umat Islam yang berpuasa dengan keikhlasan kerana Allah SWT mereka layak untuk mendapat pelbagai ganjaran daripada Maha Pencipta.
Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Barangsiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari ketika Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim, No.1164).
Kefahaman dari hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa berpuasa selama enam hari selepas bulan Ramadan akan diberikan ganjaran pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.
Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.
Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Puasa enam merupakan puasa sunat yang mempunyai kelebihan yang besar. Kita sentiasa berharap agar amalan-amalan sunat kita boleh menjadi pelengkap serta mampu membantu menampung kekurangan yang berlaku dalam ibadah fardu puasa Ramadan.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengenai puasa sunat enam hari itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan persoalan tersebut. Jelasnya, Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan:
“…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”
Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut:
“…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan atau dipisahkan sama ada pada awal Syawal atau diakhirnya kerana hadis menyebutkannya secara mutlak tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”