DuniaSemasa

Lelaki dakwa Imam Mahadi cuba serang imam Masjidil Haram

Pegawai gagalkan serangan disambut `wira'

JEDDAH: [VIDEO] Seorang pegawai keselamatan Arab Saudi disambut seperti ‘wira’ selepas berjaya menggagalkan serangan seorang lelaki yang menggunakan tongkat ketika cuba menyerang imam di Masjidil Haram di Makkah.

Adegan dramatik serangan di satu daripada tempat suci di Arab Saudi itu turut tersiar secara langsung di televisyen pada Jumaat lalu. Polis yang menyiasat insiden itu kemudian mendedahkan penyerang itu mengaku sebagai ‘bakal Imam Mahdi’.

Pegawai keselamatan, Mohammed Al-Zahrani memintas lelaki berkenaan dan menolaknya keluar ketika dia cuba menyerang imam. Penyerang itu kemudian dikeluarkan daripada masjid dengan bantuan pegawai lain.

Al-Zahrani dipuji sebagai ‘wira’ dan penghargaan diberi oleh rakyat negara itu selepas video tindakannya itu tersebar di media sosial.

Berpakaian ihram, penyerang terbabit seperti dilihat di rakaman televisyen secara terburu-buru berlari menuju di mimbar ketika Sheikh Bandar Baleelah, seorang daripada imam masjid, menyampaikan khutbah Jumaat.

Dia kemudian ditahan oleh pegawai keselamatan susulan tindakan oleh Al-Zahrani yang menghalangnya, kata jurucakap polis Makkah.

Syeikh Baleelah meneruskan khutbahnya biarpun berlaku insiden itu.

Siasatan awal polis mendapati, lelaki itu adalah warganegara Arab Saudi berusia 40 tahun, menurut akhbar Al-Watan.

Pada Mac lalu, seorang lelaki memegang pisau bertindak berjalan di antara saf jemaah dengan melaungkan slogan ekstremis.

Dia kemudian dipukul dengan kerusi oleh jemaah haji dan pegawai keselamatan bagi menghentikan tindakannya.

Related Articles

Back to top button