Covid19Semasa

Polis buru tiga lelaki loloskan diri dari kawasan PKPD

KUALA LUMPUR : Polis memburu tiga lelaki yang menyelinap keluar melalui kawat duri sekitar sebuah Projek Perumahan Rakyat di Kampung Pasir, di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung tindakan tiga lelaki itu selepas perbuatan mereka telah dirakam menerusi video.

“Hasil siasatan awal mendapati video berdurasi 2 minit 4 saat itu memaparkan dua lelaki berusia 34 dan 46 tahun bersama seorang lelaki yang tidak dapat dikenal pasti melarikan diri menerusi pagar berduri jenis dawai besi yang dipasang sekitar blok tersebut.

“Usaha mengesan individu yang terlibat masih sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dua suspek yang dikenal pasti melarikan diri dari sebuah PPR yang terletak di kawasan PKPD

Mengulas lanjut, Anuar berkata, pemeriksaan polis mendapati terdapat dawai besi rosak dan dipercayai digunakan oleh tiga individu terbabit untuk meloloskan diri.

“Siasatan mendapati dua daripada lelaki itu mempunyai rekod jenayah melibatkan kes samun, mencuri dan sembilan rekod jenayah pecah rumah serta dadah.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu dan memastikan segala arahan kerajaan dipatuhi.” tegasnya.

Tambah beliau, kes masih dalam penyiasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Oleh : Shazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button