DuniaSemasa

Misi Bantuan Pasukan SAR khas Malaysia ke Turkiye malam ini

PUTRAJAYA: Seramai 75 orang anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan digerakkan ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Turkish Alirlines dengan membawa bersama peralatan-peralatan yang akan digunakan di dalam operasi mencari & menyelamat (SAR).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak & Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali, proses penghantaran pasukan SMART dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah menerima pengesahan keperluan bantuan daripada kerajaan Turkiye.

“Pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara,” tambah beliau melalui satu kenyataan media pada Isnin.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada Isnin dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4:17 pagi waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.

Setakat ini Kementerian Luar (Wisma Putra) melaporkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berkenaan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button