Semasa

Permohonan moratorium bermula hari ini – BNM

KUALA LUMPUR : Permohonan untuk kemudahan bayaran bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan dibuka bermula hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan, berkata ia selaras dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomu (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Katanya, peminjam, sama ada individu, perusahaan mikro atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak perlu bimbang kerana kelulusan akan diberikan secara automatik.

“Permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan.

‘Selain moratorium, bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan peminjam,” katanya.

BNM berkata, peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang tersedia menerusi laman web bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

Peminjam juga boleh menghubungi bank menerusi telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan.

“Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium.

“Bagaimanapun, peminjam dinasihati supaya mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan,” katanya.

BNM berkata, bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021. Pada masa permohonan dibuat, peminjam tidak  mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 atau berhadapan dengan prosiding bankrap atau penggulungan.

Katanya, peminjam yang sudah berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mengikut terma program tersebut juga boleh memohon moratorium ini.

“Peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari boleh juga menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma.

“PKS termasuk perusahaan mikro juga boleh memohon bantuan melalui saluran khas SME Help Desk AKPK. Kaunter khidmat nasihat secara maya ini memberikan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu pemohon mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Dalam pada itu, BNM memaklumkan bahawa menerusi bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah atau keuntungan akan terus diambil kira ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

“Bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan. Apbila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran asnuran yang lebih rendah selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

“Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan atau apa-apa penalti sepanjang tempoh bantuan.

“Rekod Sistem Maklumat Rujukat Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada 2021,” – Bank Negara Malaysia (BNM)

Oleh Hafeez Anuar (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)  / AJ

Related Articles

Back to top button