DomestikEkonomiSemasa

Perlis bakal mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan

PETALING JAYA: Perlis dijangka mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan hasil usahasama Felcra dan FGV bersama sebuah syarikat Qatar, Baladna berhubung pembangunan ladang tenusu berskala besar di Chuping, Perlis yang melibatkan nilai pelaburan RM4 billion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berasaskan lebih 14,000 ekor lembu tenusu dapat menghasilkan sejumlah 208.8 juta liter susu segar setahun, menerusi perjanjian yang dijangka ditandatangani pada Jun ini.

“Baladna ialah syarikat Qatar yang terbesar dalam membekal makanan dan produk tenusu dan berpotensi menjadi rakan kongsi Felcra dan FGV dalam projek usaha sama pembangunan ladang tenusu berskala besar di Chuping.

“Baladna, Felcra dan FGV telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk mengkaji kebolehlaksanaan projek usaha sama pada Ogos 2021,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan, lawatan hari kedua beliau di Qatar diteruskan apabila dibawa melawat Ladang Baladna milik Baladna Food Industries dan disambut Pengerusi Kumpulan Baladna Food Industries, Moutaz Al-Khayyat dan Pengarah Urusan, Ramez Al-Khayyat.

Katanya, ia disusuli dengan lawatan ke pusat pengeluaran susu lembu Holstein yang berkualiti Baladna.

“Saya juga melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha,” katanya.

Dalam satu majlis kemudian, Ismail Sabri berkata, beliau menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah $AS360 juta daripada pengerusi syarikat, Ahmed Hussain Al-Khalaf.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Qatar.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button